"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz Omar tempelak Presiden Pas

Pas tak perlu tunggu muktamar putuskan hubungan dengan PKR
MALAYSIA DATELINE
Mahfuz OmarPas tidak perlu menunggu muktamar parti itu pada April ini untuk menentukan kerjasama dengan PKR, tegas ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Ini kerana katanya, Pas sudah lama mengetahui PKR mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah malah menandatangani perjanjian kerjasama politik untuk menumbangkan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Sudah terang lagi bersuluh, PKR seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah mempunyai hubungan kerjasama politik dengan DAP dan Amanah.

"Oleh itu secara perinsipnya hubungan kerjasama Pas dan PKR yang sedia terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Abdul Awang bahawa Pas tidak perlu menunggu sebulan untuk memberi jawapan terhadap tawaran Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Pas menyertai Pakatan Harapan.

Beliau menegaskan, Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menjalinkan hubungan dengan DAP dan Amanah.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Pas seharusnya menarik diri daripada kerajaan Selangor yang tuurt dianggotai PKR dan DAP bagi membuktikan ketegasan prinsip parti Islam itu.

"Adakah ini bermakna PAS perlu menarik diri dari kedudukannya dalam kerajaan negeri Selangor dan melepaskan semua jawatan exco, ahli Majlis Kerajaan Tempatan, JKKK, ketua kampung, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan apa-apa jawatan lantikan politik dengan segera secara berprinsip.

"Adalah lebih baik untuk PAS mengelakkan dari apa-apa persepsi atau tanggapan serong yang menampakkan Pas masih sayang pada kebendaan dan ketamakan kuasa yang diperolehi hasil dari kedudukan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Sudah sampai masanya Yb Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Naib Presiden Pas dan rakan-rakan exco kerajaan negeri dari Pas melepaskan jawatan exco dan apa-apa jawatan lantikan politik yang berkaitan," katanya yang masih ahli Pas.

Justeru tegasnya, berdasarkan keputusan Pas itu, semua parti pembangkang boleh merumuskan bahawa akan berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

"Berdasarkan keputusan yang dinyatakan Pas, semua parti pembangkang sudah boleh merumuskan PRU14 akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru termasuk Pas juga sudah boleh merancang strategi tiga penjuru untuk memastikan Umno-BN dikalahkan pada PRU14.

"Usah lagi menghabiskan masa dengan agenda pujuk rayu untuk Pas menyertai gabungan pakatan pembangkang, sebaliknya semua parti termasuk Pas perlu tumpu kepada usaha pujuk rayu rakyat untuk menolak Umno-BN pada PRU14 nanti," katanya

Tiada ulasan: