"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Najib panik khabar angin menteri letak jawatan?

MALAYSIA DATELINE
Barisan pemimpin pembangkang sangat berpengaruh sehingga boleh menggugat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak, kata Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat.

Beliau berkata, walaupun Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali sekadar bertanya mengenai kemungkinan terdapat menteri kanan kerajaan BN akan melepaskan jawatan, beliau diserang bertubi-tubi oleh menteri-menteri BN dalam media arus perdana.

"Dalam hanya beberapa jam saja selepas akaun 'twitter' Azmin Ali mengeluarkan pertanyaan mengenai isu perletakkan jawatan menteri kanan tersebut, ia telah mendapat maklumbalas Najib Razak.

"Isu sebegini cukuplah sekadar Ketua Pemuda Umno yang perlu menjawab. Mengapa Najib begitu panik?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin semalam menerusi akaun Twitternya berkata ada menteri kanan yang meletak jawatan kerana enggan bersubahat dalam skandal 1MDB.

Najib kemudian menafikan kenyataan Azmin, malah mencabar timbalan presiden PKR itu menamakan menteri berkenaan.

Azmin berkata beliau tidak boleh mendedahkan nama menteri kanan itu kerana menghormati perbincangan sulit antara mereka.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata jika nama menteri terbabit didedahkan, maka individu terbabit juga akan berdepan ugutan dan tekanan.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata tindakan menteri berkenaan bertemu Azmin membayangkan bahawa menteri berkenaan lebih menaruh harapan kepada pemimpin pembangkang berbanding menteri-menteri yang lain di dalam kabinet Najib.

"Ternyata jelas bahawa Najib pada hakikatnya gerun kepada pemimpin pembangkang yang semakin hari semakin menggugat kedudukan beliau sebagai seorang perdana menteri.

"Saya yakin Najib sudah mengenal pasti menteri kanan berkenaan. Kebimbangan saya adalah beliau akan diberi tekanan agar tidak melaksanakan niatnya yang murni itu.

"Saya berharap menteri berkenaan dapat meneguhkan pendiriannya dan rakyat yang cinta negara ini sentiasa berada bersama-sama dibelakang beliau," katanya.

Tiada ulasan: