"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Padah muat naik berita palsu wanita dirogol, dibunuh

Miri – Polis menahan seorang mekanik kereta berusia 23 tahun kerana membuat catatan palsu dalam Facebook dengan mendakwa seorang wanita dirogol dan dibunuh di bandar raya ini.

Ketua Polis Miri, ACP Khoo Leng Huat berkata suspek dari Long Atap, Akah Ulu Baram, ditahan di sini pada pukul 11.30 malam tadi berikutan laporan polis dibuat selepas catatan tersebut ditular di media sosial semalam.

“Polis telah menjalankan siasatan dan mendapati catatan itu adalah palsu kerana tidak ada kes rogol dan bunuh berlaku di bandaraya Miri semalam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, telefon bimbit suspek turut dirampas bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata, suspek dan pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Ody Chica Rito’ telah memuat naik gambar seorang wanita ditemui terbaring dalam keadaan bogel di tengah-tengah jalan di sini, semalam.

Khoo berkata suspek juga telah memuat naik gambar tersebut di laman Facebook Miri Community II dan Miri City Community semalam sehingga menyebabkan imej itu ditular dalam media sosial.

Pemilik akaun Facebook itu mendakwa mangsa telah dirogol dan dibunuh sebelum dicampak berdekatan sebuah restoran makanan segera di bandar raya ini.

Katanya, catatan palsu itu telah menimbulkan kebimbangan dan panik dalam kalangan orang awam di sini.

Menurutnya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat catatan palsu di media sosial. 
-Bernama

Tiada ulasan: