"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Klip audio ‘ambil duit Umno’ kini kes jenayah, kata peguam

Penyebaran rakaman audio yang didakwa mirip suara seorang pemimpin PAS yang bercakap tentang pembiayaan daripada Umno dan hubungan beliau dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat kini harus diklasifikasi sebagai kes jenayah, kata Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin.

Menurut beliau, ini susulan tindakan Ketua Pemuda AMANAH Pasir Puteh, Kelantan, Mohd Sabri Salleh yang membuat laporan polis semalam. Mohd Sabri juga dilaporkan berkata, sebagai seorang sepupu, beliau sangat mengenali suara itu milik Nik Abduh Nik Aziz.

“Bila sepupu insan yang namanya diimplicated di dalam audio yang tersebar luar buat laporan polis, isu itu kini sudah diklasifikasi sebagai kes jenayah.

“Logiknya, kertas siasatan (IP) akan dibuka. Pegawai Penyiasat (IO) akan dilantik. Para saksi yang berpotensi dipanggil dan yang relevan akan dipanggil untuk beri keterangan di bawah seksyen 112 CPC (Kanun Prosedur Jenayah),” kata Hanipa yang juga adalah seorang peguam.

Menurut beliau, antara mereka, termasuk pembuat laporan polis, pemilik audio atau perakam audio, nama-nama tokoh yang disebut dalam audio yang memberi dan menerima wang serta mereka yang mengaturkan modus operandi.

“(Selagi mereka) yang masih hidup dan penama yang suara merdunya berkemundang dalam audio itu. Selagi mereka semua tak jadi abu , saya tidak nampak (mengapa) mereka tidak dipanggil.

“Di samping itu, salinan audio itu juga akan dihantar kepada pakar untuk disiasat ketulenannya,” kata Hanipa.

Pada Februari lalu, klip audio di media sosial yang didakwa sebagai 'bukti' penyaluran wang oleh Umno kepada PAS tular di media sosial

Rakaman selama seminit 18 saat itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Antara lain, wang berkenaan didakwa bertujuan untuk kegunaan pada pilihan raya negeri Sarawak dan untuk menjatuhkan DAP.

Sementara itu, versi penuh audio tersebut disebar di media sosial kemudiannya antara lain mendedahkan beberapa pimpinan PAS mengambil wang daripada Umno selain suara yang dikatakan mirip Nik Abduh itu mendakwa mempunyai hubungan dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Abdul Hadi, Zaharuddin Muhammad.

Mengulas lanjut, Hanipa berkata, setelah siasatan tamat nanti, ada dua kemungkinan sahaja, iaitu jika audio itu tidak betul atau tidak tulen, maka ada orang akan didakwa atas tuduhan menyebar maklumat yang tidak betul.

“Jika polis berpendapat audio itu betul dan tulen, lagi banyak pendakwaan boleh dibuat.

“Antaranya kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain. Bila audio itu ada juga elemen CIA, silap haribulan Amerika Syarikat melalui FBI (Biro Penyiasatan Persekutuan) pun berminat nak campurtangan,” katanya.

Bagi Hanipa, apapun keputusan siasatan dan dengan andaian kes berkenaan berakhir dengan pendakwaan di mahkamah, audio itu akan jadi bukti paling material untuk dimainkan di dalam dewan persidangan mahkamah.

“Nampak gaya macam trial of the century lah,” katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: