"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima perbezaan PAS dulu dan sekarang - anak Fadzil Noor

Anak bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Faiz Fadzil menyenaraikan lima perbezaan utama perbezaan parti itu dahulu berbanding hari ini yang diterajui oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Paling utama, katanya, PAS hari ini tidak lagi berada di barisan depan menentang BN.

“Malah (PAS) menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak; walaupun berhadapan pelbagai skandal.

“PAS menjadi tongkat dan benteng terakhir kepada kekuasaan Umno,” katanya dalam satu wawancara dengan portal Roketkini.

Terbaru, kata Faiz yang juga adalah timbalan ketua Pemuda AMANAH, PAS menunjukkan sikapnya yang bersekongkol dengan Umno apabila menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar.

Dewan Rakyat, semalam meluluskan bacaan kedua RUU itu dengan 123 undi menyokong dan 64 menolak.

Semua 11 anggota parlimen PAS yang menghadiri sidang mengundi menyokong RUU itu.yang diluluskan oleh Dewan Rakyat, semalam.

Kos sara hidup

Mengulas lanjut perbezaan PAS hari ini dan dahulu, Faiz berkata, parti itu tidak lagi mencerminkan sebuah parti Islam yang relevan dalam negara, dengan menggunakan sentimen agama dan perkauman sebagai hala tuju politik mereka.

Sedangkan, katanya, isu sebenar hari ini adalah isu kos sara hidup yang mencengkam kebanyakan rakyat.

“Kos sara hidup berpunca daripada kelemahan tadbir urus Umno dan BN. Tiada cara lain selain mengubah kerajaan yang ada, bukan menjadi penasihat.

“Kalau PAS mengambil sikap menasihati kerajaan yang ada sudah pasti GST sudah dimansuhkan, dan rasuah yang haram di sisi agama telah berkurangan.

“Sikap PAS kini seolah-olah ia bukan lagi parti yang memperjuangkan Islam yang mematuhi kehendak syariat, kehendak siasah dan juga realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Menurut Faiz, PAS hari ini juga telah menjadi sebuah parti perkauman dan lebih malang lagi, parti itu terus memainkan sentimen kaum dan agama.

“Ketiga, PAS (dulu) cuba keluar daripada kepompong parti pak lebai dan membuat engagement dengan pihak dan organisasi bukan-Muslim.

“Tetapi sekarang PAS memainkan sentimen kaum dan agama, menunjukkan PAS menutup ruang engagement tersebut,” katanya.

PAS kini terkebelakang

Perbezaan keempat, menurut Faiz yang juga adalah seorang peguam, PAS kini terkebelakang daripada hala tuju politik yang sepatutnya selama ini untuk menjatuhkan Umno dan BN.

Beliau berkata, selama ini PAS sebenarnya yang mendepani gabungan pembangkang.

Faiz memberi contoh bagaimana PAS mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) iaitu pakatan parti itu dengan Semangat 46, BERJASA, HAMIM dan KIMMA pada 1990.

Ia disusuli dengan Barisan Alternatif pada 1998 dan PAS kemudiannya memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

“Perjuangan PAS selama ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik (pembangkang) dengan tujuan ‘merampas’ kuasa daripada Umno dan BN

“Apabila PAS mengambil langkah untuk berpecah daripada rakan-rakan parti pembangkang, menunjukkan bahawa PAS tidak mahu mengambil kuasa daripada Umno-BN.

“1990 - PAS kuasai Kelantan; 1999 - Terengganu. Tahun 1999 adalah rekod pencapaian terbaik PAS di peringkat parlimen, 27 kerusi dan kemudian merosot kepada hanya tujuh dalam PRU ke-11. Kalau PAS keluar daripada Pakatan, ia akan kembali merosot,” katanya.

Ditipu Umno

Perbezaan kelima, menurut Faiz adalah bahawa PAS tidak tahu apa yang harus diperjuangkan dalam konteks realiti di Malaysia.

“Dulu mereka memperjuangkan hudud, kemudian di zaman Ustaz Fadzil ia memfokuskan negara berkebajikan, hari ini kembali kepada hudud kononnya; dalam hal RUU355 dan akhirnya ditipu oleh Umno,” katanya.

Selain itu, PAS zaman sekarang ini, menurut beliau menunjukkan sikap takfiri, ekstremis, cepat melabel, bermusuh dengan semua orang; seolah-olah mahu kembali ke zaman “Amanat Hadi” pada 1981.

“Amanat Hadi adalah lambang kepada ekstremisme dalam pemikiran pemimpin PAS.

“Dengan mempertahankan amanat itu sampai sekarang, PAS mahu menjadi parti ekstrem yang tidak mahu berkawan dengan mana-mana parti lain kecuali dengan Umno,” katanya lagi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: