"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mukhriz angkat sumpah jawatan MB Kedah

Anne Muhammad

Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah buat kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, jam 4.18 petang tadi.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mukhriz menewaskan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Aminuddin Omar dan PAS Zulhazmi Osman dengan majoriti 10,849 undi.

Selain itu Mukhriz yang juga Ketua Pakatan Harapan (HARAPAN) Kedah turut menewaskan penyandang kerusi parlimen Jerlun Othman Aziz dan PAS Abd Ghani Ahmad dengan majoriti 10,195 undi.

Keputusan PRU14 yang diumumkan Rabu lalu menyaksikan HARAPAN memenangi 18 daripada 36 kerusi negeri yang dipertandingkan dan menjadikan DUN Kedah tergantung.

Ini berikutan tidak ada kepastian sama ada PAS yang memenangi 15 kerusi akan bergabung dengan Umno yang hanya menang tiga kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Pada pilihan raya 9 Mei itu, jumlah kerusi yang dimenangi oleh HARAPAN adalah juga 18. AMANAH mendapat 3 kerusi, BERSATU (5), PKR (8) dan DAP (2).

Sebelum ini jawatan menteri besar Kedah disandang oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan DUN Suka Menanti yang dimenangi sejak lima penggal lalu.

Calon PKR, Zamri Yusof berjaya memenangi kerusi DUN berkenaan selepas mendahului calon BN dan Pas dengan majoriti 6,251.

Ini merupakan kali kedua Mukhriz dilantik menjadi menteri besar Kedah.

Kali pertama beliau memegang jawatan itu adalah selepas pilihan raya umum 2013. Namun selepas bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad lantang menyerang perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak bersabit skandal 1MDB, Mukhriz didesak meletak jawatan.

Ini atas alasan beliau juga cenderung tidak mempertahankan perdana menteri.

Kemuncaknya, Ahmad Bashah mengetuai sekumpulan pemimpin Umno Kedah menyatakan secara terbuka hilang percaya kepada kepimpinan Mukhriz pada 20 Januari, 2016.

Dua minggu kemudian, Mukhriz letak jawatan selepas beliau hilang kawalan terhadap DUN Kedah.

Susulan itu, pada 3 Febuari 2016, Ahmad Bashah dilantik menjadi menteri besar menggantikan Mukhriz.

Tiada ulasan: