"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak ketiga halang Dr M lawat pusara Nik Aziz (Gambar)

N Faizal Ghazali  


Seorang anak allahyarham mursyidul am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi ini berkumpul bersama penyokong di pusara ayahandanya di Kota Bharu bagi menghalang lawatan Dr Mahathir Mohamad.

Nik Adli ketika ditemui Malaysiakini berkata, beliau mewakili pihak keluarga tidak mengizinkan ziarah pemimpin tersebut.

"Ya keluarga tak izinkan, kalau beliau nak datang boleh datang selepas pilihan raya umum.

"Kita nampak ada kepentingan, kalau nak datang, datang selepas pilihan raya walaupun kalah atau menang, " katanya yang pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan terlibat kegiatan pengganas.

Kelihatan juga seorang lelaki mengunci tanah perkuburan di Pulau Melaka itu.

Sebuah lori juga diletakkan oleh Nik Adli di depan pintu pagarnya.

Semalam Mahathir telah menziarahi kubur bekas presiden PAS, allahyarham Datuk Fadzil Noor di Kedah.

Dr Mahathir dijadualkan hadir ke dua program lain di Kelantan, hari ini iaitu program Santai Bersama Tun M di Kok Lanas, di parlimen Ketereh dan Tun M Bersama Rakyat di Kampung Cherang, Kota Bharu.

Sementara itu, Pengerusi HARAPAN Kelantan, Husam Musa memaklumkan Dr Mahathir menangguhkan dahulu lawatan berkenaan.

"Kita tangguh dahulu buat masa ini untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini.

"Tun Dr Mahathir akan teruskan program lain yang dijadualkan," katanya ketika menghubungi Malaysiakini.

Mahathir sepatutnya ditemani anak kedua Nik Aziz, Nik Omar, yang kini melawan arus keluarganya dengan menjadi calon HARAPAN di kerusi arwah bapanya.

-------------------------------------------------------------------
Nik Omar hormat keluarga tak izin Dr M ziarah kubur Nik Aziz
Faiz Zainudin

KOTA BHARU: Nik Omar Nik Abdul Aziz menghormati keputusan keluarganya tidak mengizinkan Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi kubur bapanya awal pagi tadi.

“Tidak apa kita rai sensitiviti keluarga, jadi tak apa tidak ada masalah, ambo (saya) rasa Tun Mahathir tidak ada masalah kita rai benda itu, tidak perlu di perbesarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tun Mahathir bersama rakyat di Kampung Cherang Kota Bharu hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir membatalkan hasrat menziarahi kubur bekas mursyidul PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana tidak diizinkan keluarga.

Anak ke-3 Nik Aziz, Nik Adli menwakili keluarganya berkata pihaknya mengambil keputusan itu kerana Dr Mahathir ada kepentingan politik dalam PRU14, tetapi mereka berlapang dada membenarkan Dr Mahathir berbuat demikian selepas 9 Mei ini.

“Keluarga dengan rasa rendah hati tidak izin Tun Mahathir datang ziarah, keluarga tidak mahu adanya pertembungan politik dalam keluarga (merujuk tindakan Nik Omar menyertai Amanah).

“Kalau Tun Mahathir nak datang selepas PRU, sebab kita nampak beliau datang ada kepentingan (politik), kita tidak halang, silakan,” kata Nik Adli yang pernah ditahan di bawah ISA pada zaman pemerintahan Dr Mahathir.

Dalam ucapannya, Nik Omar berkata, antara sebab beliau memilih PH kerana perjuangan parti lamanya suka menjatuhkan hukum kepada orang lain.

“Saya memilih PH sebab parti lama saya suka menjatuh hukum kepada orang lain sehingga menganggap seseorang itu kafir bila keluar PAS,” katanya.

Katanya, walaupun tidak mendapat izin ibu untuk bertanding sebagai calon PH, beliau tetap akan meneruskan perjuangan bersama PH.

“Apabila masuk gelanggang, kita tak undur dah. Ramai mungkin cerca, setakat ini tidak beri kesan kepada saya.

“Sebagaimana orang bukan Islam hormat pada mak, ayah dia, maka kita sebagai anak, tetap sayang kepada mak dan mendoakan mak kita,” katanya.

Tiada ulasan: