"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanipa pengsan ketika himpunan bulanan JPM (Gambar)


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pengsan dalam majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Keadaan bertukar kecoh ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berucap apabila Hanipa yang berdiri paling kanan dalam barisan menteri dan timbalan menteri JPM, tiba-tiba jatuh daripada pentas.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berada di pentas sama kemudian memberikan pertolongan cemas kepada Hanipa.

Ketika kejadian Dr Mahathir menghentikan seketika ucapannya sebelum meneruskan semula apabila Hanipa kelihatan sedar daripada pengsan.

Pemimpin AMANAH itu kemudian terus diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hanipa yang bertanggungjawab dalam undang-undang adalah antara tiga timbalan menteri di JPM yang mengangkat sumpah pada 2 Julai lalu.

Sebelum ini, pada penggal sidang Dewan Rakyat pada 4 April 2016, Ahli Parlimen Sepang itu dikejarkan ke hospital selepas pengsan selepas secara tiba-tiba mengalami pening kepala dan kelihatan tidak bermaya.

Beliau kembali menyertai persidangan Dewan Rakyat enam bulan kemudian setelah terlepas sesi lalu akibat serangan angin ahmar.

Pada pilihan raya umum ke-14, Hanipa yang mewakili Pakatan Harapan mempertahankan kerusi Sepang yang sebelum ini ditandinginya atas tiket PAS dengan mengalahkan calon BN dan PAS.
-malaysiakini

Tiada ulasan: