"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR cabar calon PAS,Dr Halimah Ali lepas jawatan k'jaan S'gor

PKR hari ini menempelak Dr Halimah Ali yang didakwa menunjukkan sikap tidak berintegriti apabila kekal sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) tetapi pada masa sama menjadi calon pembangkang untuk pilihan raya kecil Seri Setia.

Penolong Setiausaha, Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata seharusnya meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah kerana memilih jalan untuk menentang kerajaan sedia ada.

“PPAS adalah sebuah perbadanan yang berada di bawah kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan.

“Bagaimana seorang ahli lembaga pengarah kepada sebuah perbadanan kerajaan negeri boleh mengambil sikap menentang kerajaan dengan bertindak sebagai calon parti pembangkang?

“Beliau seharusnya meletakkan jawatan. Kegagalan beliau berbuat demikian menunjukkan beliau bukan sahaja tidak beretika malah gagal mempamerkan integriti profesional sebagai seorang calon,” kata Syed Badli Shah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mendesak pengerusi lembaga pengarah PPAS, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memecat Halimah.

Menurut laman web lembaga itu, Halimah dan Nik Nazmi adalah antara lima wakil rakyat yang dilantik sebagai antara 15 pengarahnya bagi penggal 2017-2020.

Tiga lagi ialah Lee Kee Hiong (Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baru), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Dr Idris Ahmad (Ijok).

Ketika itu Halimah adalah ADUN Selat Klang. Hasratnya untuk mengekalkan kerusi itu buat penggal ketiga semasa pilihan raya 9 Mei tidak kesampaian.

Halimah, 57, yang dilahirkan di Sarawak adalah juga bekas exco kerajaan negeri Selangor. Beliau cuba membuat kemunculan semula melalui pilihan raya kecil Seri Setia di mana dirinya akan berdepan dengan Halimey Abu Bakar, 46, yang adalah anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya hampir sedekad.

Ini adalah kali pertama PKR dan PAS akan bertembung. Pengundian bagi pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 8 Sept ini.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Halimah untuk mendapatkan ulasannya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: