"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH mendepani cabaran taawun Pas-Umno

DR ZULKARNAIN LUKMAN
Pas telah selesai mengadakan muktamar mereka ke-65 di Kuantan, Pahang iaitu sebuah negeri yang diterajui oleh Umno. Antara usul yang diterima dalam muktamar kali ini adalah untuk meneruskan ta’awun dengan Umno.

Mengikut kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa usul tersebut bukan sahaja membenarkan partinya mengadakan ta’awun malah untuk pergi lebih jauh dengan mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno. Pas menggunakan istilah ta’awun sebagai satu kerjasama manakala tahaluf sebagai ikatan yang lebih kukuh.

Antara alasan yang diberi untuk menyokong usul itu adalah atas dasar penyatuan ummah bagi memperkasakan Islam yang mana telah disesuaikan dengan tema muktamar yang menggunakan moto ‘Islam Memimpin Perpaduan’.

Usul yang diluluskan itu telah menamatkan sosek-sosek politik sebelum ini yang mana mengatakan bahawa usul sebegini akan mendapat tentangan daripada ahli-ahli Pas. Meskipun, masih wujud tentangan sebegitu tetapi rata-ratanya hampir keseluruhan perwakilan telah menerima kerjasama sedemikian.

Namun, jika dilihat daripada sejarah kerjasama Pas dengan parti siasah lain seperti kerjasama dalam Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat, kerjasama seperti itu akan berakhir dengan perpecahan.

Sekarang ini modal yang digunakan oleh Pas untuk menyerang PH adalah bahawa PH telah mendatangkan kemudaratan besar kepada umat Islam. Bagi mereka kemudaratan PH itu lebih bahaya daripada kerjasama dengan Umno.

Langkah yang diambil oleh Pas itu sebenarnya bukanlah satu langkah yang ke hadapan atau progresif. Malah, tindakan Pas kini sudah banyak berbeza dengan prinsip Pas sebelum PRU-14.

Dahulunya, Pas menegaskan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Umno. Malah, Presiden Pas sendiri pernah mengungkapkan bahawa Umno adalah satu bahtera yang bocor dan akan karam.

Ketika itu, Pas menyatakan mereka tidak akan sesekali memberikan bantuan kepada Umno untuk menyelamatkan bahtera yang akan karam ini.

Hakikatnya, Pas telah menelan segala kata-kata keji dan nista yang pernah dilemparkan kepada Umno dahulu dan menjilat ludahnya kembali. Kini, pimpinan Pas tidak perlu lagi berselindung untuk berbaik-baik dengan Umno.

Bagi AMANAH, ta’awun Pas-Umno bukanlah satu ancaman besar kerana para pimpinan AMANAH sendiri adalah pejuang yang telah lama bersama Pas dan amat memahami sifat dan karenah Pas.

Namun, ini tidak bermakna AMANAH perlu memandang ringan terhadap ta’awun Pas-Umno. AMANAH perlu merangka strategi untuk menghapuskan kekhuatiran rakyat terhadap tohmahan Pas seperti AMANAH sebagai kuda tunggangan DAP, Melayu-Islam terancam, LBGT bertambah, DAP berkuasa dan pelbagai lagi tohmahan berbentuk persepsi.

Hala tuju Pas juga telah berubah. Jika sebelum ini matlamat mendapat redha Allah itu menjadi sasaran dalam perjuangan tetapi kini Ketua Dewan Ulama yang baharu sendiri menyarankan Pas perlu meletakkan sasaran yang lebih jelas untuk memenangi Putrajaya dan menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

AMANAH perlu lebih agresif dalam menerangkan kepada orang ramai tentang hala tuju perjuangan AMANAH dan pendekatan inklusif, progresif dan peduli yang menjadi pendirian AMANAH.

Gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin perlu diperkuatkan dan menjadi tema gerak kerja parti di segenap lapisan. AMANAH perlu menyusun struktur parti supaya kewujudan AMANAH dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

Dalam hal ini, AMANAH perlu mewujudkan cawangan yang lebih banyak sehingga dapat menyaingi kewujudan cawangan Pas khasnya di luar bandar dan di negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Ketiga-tiga negeri ini menjadi kubu kuat Pas selama ini dan jika sokongan rakyat kepada Pas di negeri-negeri itu tidak dilumpuhkan maka rakyat sukar untuk bertukar menyokong AMANAH.

Selain itu, dasar-dasar AMANAH perlu seiring dengan dasar yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan merapatkan jurang yang wujud khasnya daripada aspek perpaduan kaum, keharmonian beragama dan toleransi bangsa.

AMANAH mesti menterjemahkan kewujudan pelbagai bangsa dan agama di Malaysia ini sebagai sumber kekuatan dan bukanlah sumber perpecahan sebagaimana yang didakwa oleh Pas-Umno.

Tema Pas-Umno yang dijual selama ini hanyalah tema perpaduan Melayu-Islam semata-mata. Dalam hal ini, Pas sendiri sebenarnya tidak berminat untuk perpaduan Melayu-Islam yang sebenar.

Buktinya, Pas sendiri mengatakan tidak mungkin bekerjasama dengan AMANAH yang dianggap telah mengkhianati perjuangannya apabila sebahagian pimpinan Pas Pusat yang dahulu telah meninggalkan parti itu.

Justeru, Konvensyen AMANAH Nasional yang bakal berlangsung pada 6-8 Disember nanti perlu meletakkan hala tuju dan merangka strategi untuk menarik rakyat untuk terus menyokong PH dan meninggalkan ta’awun palsu Pas-Umno.

Rangka kerja yang dibuat itu perlulah lebih ofensif dan defensif terhadap Pas. Ahli-ahli AMANAH perlu lebih bersolidariti untuk menentang dakyah palsu Pas-Umno dan akhirnya menyelamatkan negara ini daripada jatuh kembali ke tangan mereka.

Tiada ulasan: