"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Islam bukan milik monopoli mana-mana parti politik

SAYED MUNAWAR SAYED MOHD MUSTAR
Kenyataan ‘Islam dahulu, kemudian integriti’ gambaran simplistik yang culas tentang keutamaan dalam Islam.

‘Al-Amin’ itu status sebelum risalah kenabian diwartakan. Ia kurniaan Quraisy, bahkan, gambaran penerimaan bulat terhadap status ‘terpercaya’.

Perlu penjelasan semula agar tidak sembrono menjustifikasi politik kepartian atas nama agama.

Memetik ucapan dasar Presiden sebagai berikut: “Maka utamakan iman sebelum budiman, kerana integriti tanpa iman adalah sia-sia di sisi Allah pada hari kiamat nanti. Maka pilih Islam dahulu sebelum integriti yang milik diwajibkan.”

Memulakan dengan pilihan Islamik itu benar, namun bukan bermakna Islam itu milik monopoli mana-mana parti politik. Mempertahankan Islam boleh dilakukan oleh mana-mana entiti dan bukan hak eksklusif parti-parti tertentu, bahkan boleh dilakukan juga di luar perimeter operasional pertubuhan politik.

Antara nilai teras Islam adalah integriti maka menyuruh memilih Islam dahulu kemudian barulah integriti merupakan sebuah belahan hujah yang cuai.

‘Memilih Islam dahulu’ adalah hujah yang perlu dimurnikan dengan pendekatan yang lebih tinggi dan berhikmah. Hakikatnya, Islam itu lebih tinggi daripada mana-mana entiti ciptaan manusiawi termasuklah parti-parti politik bikinan duniawi.

Mensinonimkan Islam dengan hanya parti tertentu bererti merendahkan Islam, boleh membuka ruang cemuhan umum dan fitnah terhadap Islam jua akhirnya. Ia cenderung untuk menzahirkan persepsi keakuan bahawa hanya satu parti saja Islam, dan yang lain bukan. Ini merbahaya.

Ia bawaan daripada herotan polemik takfir, dejavu politik yang boleh menjauhkan kita daripada rahmat Allah swt. Allahu a’lam.



* Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB) dan juruacara program Bicara Politikonomi di TV1.

Tiada ulasan: