"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


NGO lapor polis selepas PAS seru wajib jatuhkan PH

Bernama
KUALA LUMPUR
: Sepuluh badan bukan kerajaan (NGO) hari ini bertindak membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Kuantan, Pahang pada minggu lalu.

Wakilnya, Presiden Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) Mejar (B) Razali Zakaria berkata tindakan PAS yang secara terbuka menyatakan pendiriannya wajib menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dilihat sebagai unsur provokasi dan menggunakan hukum agama untuk kepentingan politik semata-mata.

“Ucapan beliau (Nik Zawawi) berunsur provokasi dan boleh disalahfaham oleh umat Islam terutama pengikut PAS.., akhirnya ia boleh mencetuskan kacau bilau terutama pada umat Islam di Malaysia,” katanya pada satu persidangan media selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

“Kami menggesa agar pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara terperinci dan tanpa prejudis menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap ucapan itu,” tambahnya.

Beliau turut menyelar ucapan Nik Zawawi yang menurutnya sewenang-wenangnya mengeluarkan “fatwa” hukum demi kepentingan politik sehingga mengetepikan agensi yang dipertanggungjawab mengeluarkan fatwa.

“Tidak kira parti politik apa, teruskan berpolitik tetapi secara yang betul, bukan gunakan agama sebagai alat politik. Jangan gunakan hukum hakam agama untuk kepentingan politik kerana amalan ini akan merosakkan negara,” katanya.

Presiden Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA) Mustapa Mansor yang hadir sama turut menegaskan pihaknya akan terus memerangi penyebaran fitnah dan provokasi menerusi kerjasama rapat bersama agensi kerajaan berkaitan seperti SKMM, polis dan Kementerian Dalam Negeri.

Tiada ulasan: