"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Betapa munafiknya PAS

Zharif Badrul

ULASAN
| Sebenarnya saya tak tahu pun adanya muktamar PAS yang berlangsung minggu lepas sehinggalah muncul sajak “Demi” Islam yang dibaca oleh PU Merico.

Apa istimewanya sajak ini?

Pertama, ia dibaca oleh seorang yang bergelar Pencetus Ummah atau singkatannya PU. Kalau PU yang buat, confirm netizen boleh jadi histeria membawang pasal PU di media sosial. Sebagai contoh, PU Abu yang berkahwin dengan seorang janda dan menceraikan isterinya yang sedang hamil ketika itu. Maka meriahlah timeline Twitter waktu itu dengan nama PU Abu dari sahur sampai habis tarawih 20 rakaat.

Jadi, strategi pas menggunakan PU untuk mendeklamasikan sajak ini adalah strategi marketing yang berjaya melariskan muktamar tahun ini.

Darah-darah munafik

Kedua, bait-bait sajak yang digunakan berjaya menarik perhatian satu dunia walaupun hanya dengan membaca lima baris yang pertama.

Tahun 2015
Allah menapis darah-darah munafik
ke sana parasit, ke sini parasit
parasit tetap parasit
menggadai agama demi kuasa bernegara.

Menapis darah-darah munafik. Ah, melodramatik sungguh! Seolah-olah PAS sedang berjihad mengembangkan syiar Islam sehingga terpaksa menyamakan keadaan mereka sewaktu di zaman Rasulullah SAW, yang wujudnya golongan munafik yang banyak diceritakan perihal mereka dalam al-Quran.

Seriuslah, sampai begitu sekali tahap pas punya benci dengan ahli Amanah sampai sanggup memunafikkan mereka? Dulu apabila Umno berkuasa, dikafirkan parti umat Melayu ini dan sekarang Amanah pula yang dimunafikkan.

Jadi kesimpulan pertama yang boleh dilakukan ialah PAS sentiasa bitter dengan parti-parti yang menang dan menjadi kerajaan. Jadi jalan terbaik ialah mengkafirkan atau memunafikkan parti yang menang ini untuk meraih simpati rakyat.

Lebih-lebih lagi yang digelar munafik itu pula menang jadi kerajaan dengan parti-parti yang pernah bersama mereka dalam Pakatan Rakyat satu ketika dahulu. Lagilah frust menonggeng. Kalau tak, mungkin sekarang presiden mereka sudah mendapat gelaran Tun dan menjadi ‘punahsihat’ kerajaan bersama Mohd Najib Abdul Razak.

Setelah setahun berlalu, PAS masih belum move on dan menjadi semakin bitter dengan memunafikkan sesama Islam hanya kerana mereka kalah dalam pilihan raya. Masya-Allah! Perangai ini jauh lebih teruk daripada perangai Aliff Aziz yang tak reti move on selepas bercerai dengan Bella Astillah.

Tolak parti cauvinis

Dah selamat memunafikkan Amanah, tuan presiden parti menyeru pula rakan-rakan parti bukan Islam untuk menolak parti fanatik perkauman. Menurut laporan Malaysiakini, tuan presiden memberitahu,

“Kita mengharapkan rakan-rakan bukan Islam supaya menolak parti fanatik perkauman (cauvinis), khusus yang bersikap negatif terhadap umat Islam, tanpa mengenang budi, demi kepentingan kaumnya sahaja tanpa peduli hubungan kaum yang mesti dipelihara dengan saksama.”

Tak diperlukan seseorang yang mempunyai tahap genius Sherlock Holmes untuk membuat deduction bahawa menolak parti fanatik perkauman cauvinis itu adalah sama ertinya dengan menolak parti DAP.

Barisan pemimpin Umno yang hadir dalam muktamar PAS baru-baru ini.
Tapi, terkejut beruk pula apabila tuan presiden mengibaratkan PAS dan Umno seperti paha kiri dan kanan. Betapa akrab dan romantisnya hubungan mereka!

Maka tidaklah lagi terkejut itu menjadi beruk apabila pas akhirnya sebulat suara meluluskan usul bertahaluf dengan Umno.

Mula-mula diseru untuk menolak parti perkauman yang ditujukan secara tersirat kepada parti DAP yang membuka keahliannya kepada pelbagai kaum. Habis menyeru, dipersetujui pula untuk bertahaluf dengan parti Umno; parti yang pernah dikafirkan satu ketika dahulu!

Dikafirkan satu hal. Bahkan Umno punya rasis lagi rasis daripada DAP sebab keahliannya hanya untuk umat Melayu sahaja. Jadi kesimpulan kedua yang boleh dibuat ialah penolakan parti perkauman yang diseru pas ini hanya terpakai kepada DAP sahaja. Parti perkauman macam Umno, Mca dan MIC tak perlu ditolak sebab mereka sama-sama kalah dalam pilihan raya yang lalu.

Sesungguhnya Islam mengajar umatnya bahawa ketakwaan kepada Allah adalah tanda kemuliaan seseorang itu di sisi sang pencipta dan bukannya seseorang itu mulia kerana susur galur kaum keturunannya. Bahkan, Islam diturunkan untuk menghapuskan semangat asabiyah yang begitu menebal di kalangan masyarakat Arab jahiliah pada waktu itu justeru fanatik perkauman tidak pernah halal di sisi Islam.

Dan fanatik perkauman yang dilarang dalam Islam adalah bersifat menyeluruh dan tidak selektif; Arab atau bukan Arab, Melayu atau bukan Melayu- sesiapa sahaja yang taksub dengan kaumnya sahaja adalah ditegah dalam Islam!

Lihatlah betapa munafiknya mereka yang kini menghalalkan hubungan dengan parti yang rasis dan pernah dikafirkan oleh mereka sendiri satu ketika dulu!

ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftaraikan sebagai peguam cara dan peguam bela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di Twitternya @zharifbadrul6.

Tiada ulasan: