"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Wajib’ jatuhkan PH: Perangai Abu Jahal dan Abu Lahab, kata Nik Omar

AKMAL MANAF
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz menyifatkan perbuatan menjatuhkan hukum tanpa sebab munasabah, adalah perangai Abu Jahal dan Abu Lahab.

Ahad lalu, ketika ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-65 di Kuantan, Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu bahawa ‘wajib’ menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Susulan kenyataan kontroversi itu, Ustaz Nik Omar berkata, penerangan mendalam perlu dilakukan jika mahu menyebut ‘wajib’ dari sudut politik supaya tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat di negara ini.

“Kalau mereka keluarkan kenyataan seperti itu, kita juga boleh sebut bahawa ‘wajib’ juga untuk kita mempertahankan kerajaan yang ada sekarang ini.

“Apabila sesuatu perkara itu disebut ‘wajib’, itu bermakna perkara yang lain akan jatuh hukum sebagai ‘haram’.

“Jadi, jangan hanya sebut wajib dan terhenti setakat itu. Penjelasan secara terperinci perlu dilakukan dan kita juga kena faham maksud Fastabiqul Khairat (berlumba-lumba membuat kebaikan).

“Apabila kita hendak melakukan sebarang kebaikan, kita juga kena mengiktiraf peranan individu dan organisasi lain yang mempunyai tanggungjawab sama untuk membangunkan sesebuah negara termasuk Malaysia,” katanya ketika ditanya media berhubung isu itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Yadim, di pejabatnya, hari ini yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim.

Mengulas lanjut, Ustaz Nik Omar berkata, kenyataan berkenaan keluar daripada pihak parti politik dan kebiasaanya mereka mahu mendapatkan sokongan rakyat.

“Walau apa pun, kita kena berkerja keras menjalankan tanggungjawab kita sebagaimana tuntutan Allah.

“Pada masa sama, kita juga harus menonjolkan kedudukan masing-masing termasuk di Yadim untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan sekarang sememangnya memberi perhatian serius kepada pembangunan negara termasuk pembangunan Islam itu sendiri.

“Contoh paling jelas adalah, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan pembangunan Islam daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM100 juta.

“Itu salah satu gambaran jelas dan kami lihat Kementerian (Hal Ehwal Agama) begitu bersungguh-sungguh memastikan cita-cita ini berjaya dengan mewujudkan beberapa kluster utama dan Yadim juga diberi mandat menjayakan kluster dakwah,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: