"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM dedah rakaman audio ‘konspirasi’ babitkan Najib

SPRM hari ini mendedahkan beberapa rakaman audio perbualan yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pesuruhjayanya, Dzulkifli Ahmad.

Juga didedahkan ialah perbualan antara Najib dan seorang tokoh ternama dari Emiriah Arab Bersatu berhubung tuntutan saman sivil dan pelucutahak oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat serta dana 1MDB yang disalurkan kepada anak tiri Najib, Riza Aziz.

Satu lagi panggilan telefon melibatkan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.

Semua perbualan berlangsung antara Januari dan Julai 2016.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang medianya di Putrajaya, hari ini berkata, pihaknya menerima rakaman sulit itu selepas tahun baru, dan selepas siasatan forensik, mendapati bahawa rakaman itu adalah sahih dan tidak disunting.

"Kami telah diberikan rakaman itu ... selaras dengan penyiasatan, kami dapat mengesahkan kesahihan mutlak rakaman berkenaan.

"Kandungannya mengejutkan, ia adalah untuk menyembunyikan dan subversif keadilan.... Demi kepentingan awam, kami mendedehkan kepada umum kandungannya, " katanya mengenai sembilan set klip audio berdurasi kira-kira 45 minit itu.

Beliau berkata rakaman itu akan dihantar kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Perbualan pertama pada 5 Jan 2016, membabitkan Dzulkifli memanggil Najib untuk memberitahunya bahawa dia kecewa dengan "kertas siasatan".

Dzulkifli: Saya dah dapat IP (kertas siasatan) itu. Tan Sri AG (Apandi Ali) tak ada masalah, dia very good, dia sependapat.

“Just nak update Datuk Seri (Najib) apa yg dicandangkan oleh MACC sendiri.

Najib: Itu yang tak kena tu...

Dzulkifli: Itu yang kita risau sangat-sangat. Dari segi perundangan kita boleh tangani.

Najib kedengaran dalam rakaman itu sebagai berkata dirinya kecewa kerana "dimainkan". Beliau juga berkata beliau akan berjumpa dengan peguam negara pada hari Khamis (7 Jan 2016).

Pada 25 Jan 2016, Apandi mengadakan sidang akhbar membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam kes 1MDB dan SRC.

Latheefa berkata apa yang berlaku adalah salah, kerana Dzulkifli sebagai pendakwa raya, telah membocorkan maklumat kepada Najib yang mungkin adalah suspek.

Ini, katanya, mungkin menjadi pelanggaran kepada Akta Rahsia Rasmi.

“Terdapat pelbagai isu serius yang timbul termasuk menyalahgunakan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah.

"Saya telah mengarahkan petugas saya untuk mengambil semua langkah yang perlu dan kami akan menyerahkan bahan itu kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan," kata Latheefa.

Latheefa berkata pejabatnya akan menyerahkan bahan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk memudahkan penyiasatan.

"Dalam episod kotor pengkhianatan kepercayaan awam dan jenayah ini, kita boleh bersyukur kerana ada seorang penjawat awam berani yang tahu tentang tugasnya - Tan Sri Abu Kassim Mohamed," katanya.

Abu Kassim adalah ketua pesuruhjaya SPRM ketika perbualan telefon itu didakwa berlaku. Beliau digantikan oleh Dzulkifli pada 1 Ogos 2016.

Tiada ulasan: