"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno membenci Bersatu, Pas tidur dengan ‘isteri’ orang

ARIF ATAN

Tiada apa yang dapat masyarakat Melayu Islam harapkan daripada tiga parti Melayu iaitu Umno, Bersatu dan Pas yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pertembungan Umno-Bersatu jelas daripada keputusan akar umbi Umno menolak sebarang bentuk kerjasama dengan parti diterajui Muhyiddin Yassin itu.

“Sebanyak 189 daripada 191 Umno bahagian membawa usul menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Umno sangat membenci Bersatu. Ini nilai yang konsisten dalam Umno dan diterjemah dalam mesyuarat Umno bahagian,” katanya dalam Bicara Bersama Dr Mujahid menerusi FB Live sebentar tadi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Parit Buntar itu berpendapat Umno juga tidak mempercayai Pas yang kini mempunyai 18 kerusi Parlimen dalam kerajaan ‘katak lompat’ PN.

“Umno juga sangat berhati-hati hubungannya dengan Pas. Umno tidak berapa percaya dengan Pas.

“Kalau Melayu mahu berharap dengan Pas, dia (Pas) kahwin dengan MN (Muafakat Nasional) tetapi tidur dengan ‘isteri’ orang lain (Bersatu),” tempelaknya.

Sehubungan itu, Mujahid menyifatkan keadaan tersebut menggambarkan wujudnya perpecahan Melayu yang mesti ditolak oleh masyarakat Melayu sendiri.

“Umno dan Bersatu bergaduh. Ini adalah perpecahan Melayu yang mesti ditolak. Pas yang bawa Islam bersetuju kahwin dengan yang lain, tidur dengan orang lain.

“Apa yang boleh diharapkan? Ini realiti yang kita hadapi,” tegas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu lagi.

Tiada ulasan: