"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zalim mengikut sifir Ahmad Maslan tidak lojik

MINDA KANUN

Baru-baru ini Ahmad Maslan, Setiausaha Agung Umno yang juga baru dilantik menjadi Setiausaha Agung Barisan Nasional menggantikan Annuar Musa mengatakan dalam satu temubual dengan Umno Online bahawa beliau tidak puas hati dengan kerajaan sekarang kerana kerajaan sekarang adalah zalim.

Beliau mengatakan antara lain seperti berikut;

“Dan satu lagi ketidakpuashatian ialah bukan kerana jawatan sangat tetapi kerana kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tidak wajar dibuat.

“Kes-kes yang dibawa ke mahkamah diorang kata kluster mahkamah dan sebagainya ini. Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini adalah kes yang dibawa zaman Mahathir, zaman Tommy Thomas, zaman Latheefa Koya. Tun Mahathir dah takde dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu pergi mana dah sekarang, Latheefa Koya saya tak tahu ke mana dah.

“Kenapa kes yang mereka bawa itu masih diteruskan? Sebagai contoh satu kumpulan 41 organisasi dan individu, satu lagi kumpulan 80 organisasi dan individu, mereka tak tahu pun duit yang presiden bagi tu datang daripada mana, mereka anggap sebagai dana politik biasa, tetapi kenapa 41 orang itu disita dan yang 80 orang itu termasuk saya ini dikompaun berpuluh kali ganda!

“Ada yang dapat 50 ribu daripada presiden disuruh bayar kompaun 2.5 juta. Ini satu kegilaan yang melampau! Dan kezaliman yang tahap tinggi. Maka saya dan Tan Sri Shahrir mengepalai 43 orang yang lain menyaman SPRM tetapi kami berdua pula diheret ke mahkamah dan diteruskan oleh kerajaan yang ada ini. Kerajaan yang ada ini meneruskan kezaliman bermakna kerajaan ini juga yang zalim…”

Untuk rekod, Ahmad Maslan adalah bekas Timbalan Menteri Kewangan semasa zaman Najib menjadi Perdana Menteri. Semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan, beliau telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bersama Shahrir Samad atas pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram dan korupsi.

Semasa zaman Pakatan Harapan, Ahmad Maslan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.

Bagi pertuduhan pertama, kesalahan yang didakwa itu adalah kerana beliau membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan boleh disabitkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau juga dituduh telah memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM dan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Justeru, menjadi satu keanehan apabila beliau menyatakan bahawa beliau dan rakan-rakannya dizalimi. Akta yang dibuat itu adalah akta yang dibuat semasa zaman Barisan Nasional memerintah dan bukannya dibuat oleh Pakatan Harapan untuk mengenakan diri beliau.

Jika akta itu digubal oleh Pakatan Harapan adalah logiknya beliau mengatakan sedemikian. Tambahan lagi, dengan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan sepatutnya beliau lebih faham persoalan mengenai penggubahan wang haram itu.

Maka, jelas sekali tindakan politik yang dibawa oleh Umno sekarang ini sebenarnya adalah usaha-usaha terdesak beberapa kerat pemimpin Umno untuk melepaskan diri daripada pertuduhan yang kononnya zalim ini.

Apalah yang zalimnya pertuduhan sebegitu sekiranya beliau diberikan hak untuk membela diri dan beliau boleh mengupah mana-mana peguam yang terbaik untuk mempertahankan dirinya sekiranya benar-benar beliau tidak bersalah.

Berbanding dengan kezaliman kerajaan Barisan Nasional yang membuat tahanan tanpa bicara itu di bawah ISA adalah lebih zalim kerana orang yang ditahan itu tidak tahu kesalahan mereka dan mereka tidak berpeluang untuk mempertahankan diri mereka di mahkamah.

Kesalahan menggubah wang haram ini bukanlah kesalahan yang sebarangan. Kesalahan seperti ini telah digubal di seluruh dunia.

Tujuan kesalahan berkaitan pengubahan wang haram ini dijadikan kesalahan adalah untuk menutup ruang-ruang korupsi dan menyelamatkan wang negara daripada dirompak di siang hari.

Adalah tidak adil sekiranya orang politik bebas menggubah wang haram untuk tujuan politik atau untuk tujuan peribadi tetapi rakyat kebanyakan pula bersusah payah mencari sedikit wang ringgit untuk menyara kehidupan yang semakin mendesak.

Kita juga rindu dengan ketegasan zaman Pakatan Harapan yang telah membuat pertuduhan ke atas ahli-ahli politik yang selama ini mengumpul kekayaan luar biasa.

Malang sekali, sebelum ahli-ahli politik ini disabit dan dihukum, ianya telah ditebuk atap oleh pengkhianat politik sehingga akhirnya usaha-usaha untuk membanteras korupsi ini telah terbantut.

Kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini tidak nampak lagi sebarang usaha dibuat untuk menuduh atau mendedahkan penyelewangan.

Kita berharap kemajuan Pakatan Harapan ini dapat diteruskan kelak jika rakyat sekali lagi memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara selepas PRU 15 kelak.

Tiada ulasan: