"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lawatan TPM disertai ramai orang walau wabak merebak hanya 15 saat

FAZLI RADZI

Cakap tidak serupa bikin. Suruh rakyat patuhi prosedur operasi standard (SOP) tetapi menteri sendiri pun langgar.

Itu antara kecaman orang ramai apabila melihat klip rakaman video lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Flat Seri Perantau, Pelabuhan Klang semalam.

Rata-rata warga maya mempersoal kegagalan mematuhi SOP apabila rombongan pemimpin Umno itu dilihat melanggar penjarakan fizikal.

Walaupun memakai pelitup muka, lawatan di kawasan padat 12 blok flat itu dilihat berisiko mengundang penularan jangkitan Covid-19.

Hal ini memandangkan jangkitan varian baharu Covid-19 termasuk varian Delta boleh merebak dengan cepat dalam masa hanya 15 saat melalui udara.

Rombongan Ismail Sabri mengundang kebimbangan kemungkinan wujudnya kluster lawatan menteri.

Jangkitan melalui udara itu akan meningkatkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang menyebabkan peningkatan kes harian, tegas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 15 Julai lalu.

Walau bagaimanapun, selang dua hari kenyataan Dr Noor Hisham itu, rombongan Ismail Sabri dilihat disertai lebih 20 individu tidak termasuk anggota polis dan pemberita.

Jumlah pergerakan ramai orang itu berlaku dalam program Ismail Sabri yang menyampaikan bantuan bakul makanan kepada hanya beberapa penghuni flat tersebut.

Penyerahan bantuan bakul makanan di bawah program Op Bantu tanpa menjaga SOP penjarakan fizikal dan kawalan bilangan individu itu berlaku ketika negara merekodkan 12,528 kes baharu dan 138 kematian semalam.

Daripada jumlah itu, 4,985 kes baharu positif Covid-19 dan 46 kes kematian dicatatkan di Selangor dengan 446 kes dikesan di daerah Klang.

Lawatan itu juga disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Said dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Tiada ulasan: