"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ismail Sabri dijangka umum perkara ‘penting’ petang ini

FMT Reporters

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat pengumuman “penting” melalui sidang media khas pada jam 4 petang ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dikatakan akan mengumumkan pendirian Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang cenderung menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), menurut sumber dalaman parti itu.

“Semalam (malam Selasa), Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sendiri sebelum bertemu sebilangan Ahli Parlimen BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap kemelut politik yang berlaku.

“Pelbagai opsyen telah dikemukakan dalam dua pertemuan itu dengan Ismail sendiri akan mengumumkan pendirian terkini Ahli Parlimen BN dalam satu sidang media pada petang ini (Rabu),” kata sumber itu, menurut laporan Sinar Harian.

Semalam, FMT melaporkan sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen Umno difahamkan menghantar akuan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri untuk diserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, Ahli Parlimen berkenaan ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Ahmad Maslan (Pontian) yang juga Setiausaha Agung Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Najib Razak (Pekan), Azalina Othman Said (Pengerang), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Noh Omar (Tanjung Karang).

Ahli Parlimen lain adalah Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Zahid berkata, surat akuan Ahli Parlimen Umno itu sekali gus bermakna kepimpinan Muhyiddin sudah hilang keabsahan sebagai ketua kerajaan kerana tidak lagi menikmati sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Umno adalah blok penyokong terbesar yang membawa kepada pembentukan kerajaan PN tahun lalu. Meskipun mempunyai sokongan padu Umno sebelum ini, kerajaan Muhyiddin dipercayai mempunyai majoriti amat rapuh di Dewan Rakyat.

Baru-baru ini, Ismail mengesahkan kesahihan dakwaan 40 Ahli Parlimen BN menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin dan menjelaskan keputusan itu dibuat selepas dia mempengerusikan mesyuarat bersama mereka pada 29 Julai lalu.

Mesyuarat itu diadakan susulan ketegangan yang berlaku antara Istana Negara dan Putrajaya berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang merupakan undang-undang diluluskan Yang di-Pertuan Agong di bawah pengisytiharan darurat yang tamat pada 1 Ogos.

Tiada ulasan: