MALAYSIA DATELINE
Pembangkang diminta menetapkan siapa calon perdana menteri mereka dan jika mereka gagal sebaiknya mereka diam dan tidak mempertikaikan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional sekarang walaupun kerajaan yang ada sangat teruk.
Demikian saran saintis politik, Datuk Dr Mohammad Agus Yusof menerusi facebooknya malam tadi ketika kerajaan PN jelas sudah hilang majoriti tetapi pembangkang masih tidak sepakat siapa calon PM mereka.
“Jika PN sudah ada TSMY (Tan Sri Mahiaddin Md Yassin), siapa pula calon PM dari gabungan blok PH dan Bebas?
“Pesan saya pada MP dari blok pembangkang, berhenti dahulu bercakaran sesama sendiri tentang siapa PM. Ingat! Frontliners berjuang menyelamatkan rakyat dan rakyat pula ramai yang bertarung nyawa untuk hidup.
“Bertolak ansurlah, fikir rakyat dan negara,” kata beliau dalam catatan di Facebooknya malam tadi yang menegaskan kerajaan PN yang ada sangat teruk.
“Sekarang ini keadaan kita teruk: rumah ibadat tutup, perniagaan banyak gulung tikar, hotel tutup, universiti dan sekolah tutup, pejabat kerajaan separuh berfungsi, restoran tiada dine in, penganggur bertambah, dan hutang bercambah di setiap peringkat kehidupan.
“Bukan hanya itu, rentas negeri dan daerah disekat, tetapi kes positif Covid meningkat sehingga 20000 sehari. Semua ini menyebabkan rakyat terkurung dan dihantui ketakutan. Malah ada yang depresi,” katanya.
Bagi beliau, jika Umno masih lagi dengan “No Anwar, No DAP” dan DAP dan Pejuang pula masih lagi dengan “No Kleptocrat”, mereka perlu berhenti berpolitik dengan isu percaya terhadap PM.
“Tunggu sahaja PRU-15. Ini lebih baik dari memberi harapan palsu kepada rakyat yang mahukan perubahan,” kata beliau.
Sekarang ini, kata beliau, negara ada tiga blok di parlimen—blok PN, PH dan Bebas.
“Masing-masing tidak ada majoriti mudah. Dalam sistem elektoral kita, setiap parti memerlukan majoriti mudah untuk menang, tetapi data menunjukkan kerajaan PN hanya ada minoriti terbanyak bukan majoriti terbanyak.
“Jika PN sudah ada minoriti terbanyak sedangkan blok pembangkang tidak ada majoriti mudah, kenapa perlu ditukarkan kerajaan minoriti terbanyak ini? Dalam sistem Westminster dan perlembagaan kita, tidak ada istilah kerajaan minoriti,” katanya.
Bagi beliau, minoriti tetap minoriti. Dengan kerajaan minoriti, satu usul pun tidak boleh dibentangkan menjadikan kerajaan tidak berfungsi. Jika ini berlaku, sistem kerajaan runtuh dan ini tidak membawa kestabilan kepada politik negara.
Mengapa blok pembangkang dikatakan majoriti terbanyak tetapi tidak mempunyai majoriti mudah?
“Majoriti terbanyak apabila dicampurkan bilangan MP dari PH dan Bebas, tetapi tidak ada satu parti pun yang mempunyai majoriti mudah untuk menamakan calon PM masing-masing.
“Ini kerana blok pembangkang tidak sepakat dengan siapa calon PM untuk menggantikan PM sekarang,” katanya.
Begitupun, katanya, untuk menyelesaikan krisis sekarang, rakyat perlu mendapat kerajaan yang lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan