"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salah faham roboh tokong: Penganut bawa kayu, besi, serang anggota polis, rosakkan jentolak, 4 ditahan

FMT Reporters

Tangkap layar menunjukkan keadaan tegang di luar tokong berkenaan.

KUALA LUMPUR: Keadaan huru-hara tercetus di luar sebuah tokong di Cheras di sini apabila sekumpulan penganut yang membawa kayu dan besi, menyerang anggota polis serta merosakkan jentolak kerana beranggapan pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat itu.

Bagaimanapun, pihak polis meleraikan keadaan tegang itu selepas lebih tiga jam. Empat individu ditahan, kata Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar.

Beliau berkata kecelaruan itu tercetus kira-kira 11.45 pagi tadi apabila kira-kira 30 lelaki dan perempuan bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak yang dikerah Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur. Ia untuk kerja-kerja membina pagar penghadang bagi pembinaan jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah bersebelahan.

Idzham berkata kumpulan itu yang membawa kayu dan besi turut menyerang anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan di tempat kejadian.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun memaklumkan pemberita, kejadian itu sekadar salah faham antara penganut di tokong berkenaan dengan pihak berkuasa bersabit kerja-kerja pembinaan berkenaan.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Yap berkata, penganut terbabit beranggapan pihak berkuasa datang ke Tokong Wong Low Shen See Chee How, untuk merobohkannya.

Katanya, penganut di situ serta anggota jawatankuasa tokong cuba menghalang mereka.

Dalam video berdurasi 76 saat yang dikongsikan di laman Facebook Tokong Wong Low Shen See Chee How, sekumpulan individu dilihat memegang kayu berlari ke arah sebuah jentolak.

Dalam video lain pula, pihak polis dilihat berunding dengan beberapa individu dari tokong berkenaan untuk mententeramkan keadaan.

Yap mendakwa empat individu yang ditahan termasuk dua lepasan sekolah.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Salak Selatan,” kata Yap dengan menambah jawatankuasa tokong akan mengeluarkan kenyataan lebih terperinci.

Sementara itu, Fong berkata keadaan itu sekadar “salah faham” berikutan ahli jawatankuasa tokong mendirikan pagar sepanjang rizab jalan yang menuju ke kawasan tanah di belakang tokong berkenaan.

“Keadaan berjaya diredakan selepas saya tiba di situ. Saya bercakap dengan Ketua Polis Daerah (Izham) dan meminta pihak tokong serta penganut berkenaan diberi sedikit masa dan ruang,” katanya.

Sebentar tadi, Idzam mengesahkan polis menahan empat individu berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Idzam menegaskan tiada sebarang tindakan “untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.”

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” kata beliau.

Tiada ulasan: