"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Ismail Sabri masih mahu tawarkan dirinya berunding dengan Pas, Bersatu?

SHAHBUDIN HUSIN

Pada 30 Oktober lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberitahu media, MT Umno telah memberi mandat kepadanya untuk melakukan rundingan dengan parti-parti dalam kerajaan bagi mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka.

Untuk itu, katanya beliau kini sedang menjalankan rundingan dengan Pas dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada PRN Melaka dapat dielakkan.

“Keputusan Umno ini adalah kerana kita berhasrat untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri antara mana-mana parti dalam kerajaan.

“MT Umno memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan itu,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.

Sebelum itu, selepas mesyuarat MT Umno pada 28 Oktober, dalam kenyataan medianya, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan antara lain mengumumkan, MT memberi mandat kepada Zahid Hamidi selaku Presiden Umno; Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden Umno dan Ismail Sabri, Naib Presiden Umno yang memegang jawatan Perdana Menteri untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka.

Tiada langsung disebut dalam kenyataan media itu tentang mandat MT Umno kepada Ismail Sabri untuk berunding dengan Pas dan Bersatu bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Sebaliknya, Umno komited dengan ketetapan menolak serta tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu sebagaimana telah dimuktamadkan dalam PAU2020 dan hanya ingin meneruskan hubungan kerjasama dengan Pas saja di Melaka.

Jadi, bagaimana Ismail Sabri boleh memaklumkan kepada umum bahawa MT Umno telah memberi mandat kepadanya untuk berunding dengan Pas dan Bersatu? Benarkah ada mandat MT sebagaimana disebutnya itu?

Dalam hal ini, sumber yang dekat dengan Umno memberitahu, secara tepatnya tiada mandat diberi atau ditawarkan kepada Ismail Sabri atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk berunding dengan Pas atau pun Bersatu.

Kata sumber itu, apa yang diputuskan ialah MT memberi mandat kepada tiga pemimpin utama Umno iaitu Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Ismail Sabri untuk memuktamadkan secara bersama sebarang perkara berbangkit, jika ada, berkaitan PRN Melaka.

Keputusan itu diambil untuk memastikan Umno mengamalkan konsep musyawarah di sebalik Mohamad Hasan telah diumumkan sebagai Pengarah PRN Melaka.

Tambah sumber Umno itu lagi, selepas diumumkan mandat kepada tiga pemimpin utama Umno itulah Ismail Sabri kemudiannya dengan sukarela menawarkan diri untuk melakukan rundingan dengan Pas dan Bersatu.

Dipercayai beliau membuat tawaran itu kerana melihat tiada hubungan yang jelas berkenaan kerjasama Umno dengan kedua-dua parti terbabit.

Memandangkan Ismail Sabri telah membuat tawaran terbuka itu, maka MT mengambil pendirian tiada halangan terhadap usaha yang mahu dicubanya itu dan sebarang hasil yang mungkin boleh dicapai hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan untuk dipersetujui secara bersama dan sebelum dibuat apa-apa pengumuman secara terbuka.

Makna kata, bukan MT yang memberi mandat berunding itu kepada Ismail Sabri, tetapi beliau sendiri yang menawarkan dirinya.

Begitu pun, sementara tawaran dirinya itu direstui MT, tetapi Ismail Sabri tidak diberi hak untuk membuat keputusan secara sendirian hasil rundingannya dengan Pas dan Bersatu itu.

Ia sebaliknya, mesti dirujuk kepada Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan untuk tiga pemimpin utama Umno itu memutuskannya secara kolektif sama ada bersetuju atau tidak.

Sebagaimana diketahui umum bahawa Umno sudah pun membuat ketetapan menolak untuk bersama dengan Bersatu dan hanya ingin meneruskan hubungan dengan Pas saja.

Soalnya, kenapa Ismail Sabri masih mahu menawarkan dirinya melakukan rundingan dengan kedua-dua parti itu?

Apakah dalam hatinya masih ada perasaan sayang kepada Bersatu, meskipun Umno secara keseluruhannya sudah membuat ketetapan menolak parti pimpinan Mahiaddin itu dan hanya ingin bekerjasama dengan Pas seorang saja?

Tiada ulasan: