Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Warga emas yang tular dipukul lelaki di jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa, dekat sini, Ahad lalu, membuat keputusan memaafkan pemuda terbabit.
Zainol Din Hussain, 61, berkata, walaupun insiden berkenaan memberi kesan kepada kesihatannya yang mana dia mengalami kecederaan di muka, badan serta tulang rusuk, dia berlapang dada memaafkan pemuda berusia 23 tahun itu.
"Saya seikhlas hati memohon maaf sekiranya ada silap saya dan saya berlapang dada untuk memaafkan dia kerana tidak ingin kejadian ini berulang lagi pada masa akan datang.
"Saya juga merasa sedih dengan apa yang dilakukannya yang mana dia baru berusia 23 tahun iaitu di peringkat umur anak saya. Walaupun saya sedia memaafkannya, perkara ini saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa dia menunjukkan isyarat tidak senonoh sehingga membuat lelaki itu berang, Zainol Din menafikan perkara itu dan memaklumkan dia tidak akan melakukan perkara sebegitu apatah lagi dirinya adalah warga emas.
"Umur saya sudah 60 lebih dan ada penyakit buah pinggang. Saya kena malu dengan diri sendiri dan Tuhan sebelum membuat provokasi sebegitu.
"Secara jujur saya tak buat benda tu dan saya juga tanyakan kepada isteri yang ada bersama adakah saya buat sedemikian secara tidak sengaja kepada pemuda itu dan dia kata tidak ada," katanya.
Mengulas lanjut, pesara swasta itu juga menafikan bahawa dia memanggil penduduk kampung untuk memukul pemuda itu.
Katanya, orang kampung kenal dengannya yang sudah 30 tahun tinggal di kampung di situ dan ketika itu mereka cuba menyelamatkannya daripada terus dipukul.
"Saya memang tiada masa hendak panggil orang kampung masa tu. Kejadian terlalu pantas dan di luar kawalan saya. Orang kampung ke tempat kejadian sebab mereka kenal saya dan cuba untuk membantu saya, jadi dakwaan saya memanggil mereka untuk memukul pemuda itu adalah salah," katanya.
Mengulas mengenai insiden itu, Zainol Din berkata, ketika itu dia bersama isteri serta cucunya dalam perjalanan ke rumah besannya di Putrajaya dan Ampang untuk berhari raya dan ketika sedang menaiki jambatan, dia terdengar jeritan seterusnya memberhentikan kereta.
"Sebagai orang tua, saya ingat saya melanggar dia atau dia melanggar kereta saya jadi saya berhenti. Saya tidak pasti apa yang dijeritkan pemuda itu. Saya cuma nampak dia patah balik dan terus terajang saya," katanya.
Pada Ahad lalu, satu rakaman menunjukkan seorang lelaki sedang memukul warga emas tular di media sosial dan susulan kejadian itu, lelaki berkenaan ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan