"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ jejas imej sendiri jika sertai PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak mampu menghapuskan imej konservatif Perikatan Nasional (PN) atau meredakan ketakutan dalam kalangan orang Melayu dan bukan Islam di bandar dengan apa yang digelar “gelombang hijau”, kata penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Khairy sebelum ini pernah menolak tawaran PN untuk berpaling tadah ketika masih bersama Umno juga berisiko menjejaskan imej progresifnya.

Pada Isnin, Khairy berkata, beliau menerima beberapa tawaran bertanding pada pilihan raya negeri Selangor, bahkan ada satu parti berhasrat menamakannya mengisi jawatan menteri besar.

Bagaimanapun, menurut The Star, bekas Ahli Parlimen Rembau dipecat Umno bulan lalu itu, enggan mendedahkan parti mana membuat tawaran sedemikian. 

Sumber terdekat memberitahu FMT, PN membuat tawaran itu kepada Khairy.

Fauzi berkata sekiranya Khairy memutuskan menyertai PN, gabungan itu akan bergantung kepadanya dengan harapan merampas negeri berkenaan. Namun, jika PN tumpas, nasibnya mungkin terumbang-ambing.

“Beliau kurang sokongan akar umbi dalam PN. Beliau akan dibiarkan bersendirian hinggakan penyokong pelbagai kaum dan di kawasan bandar mungkin meminggirkannya kerana berpihak kepada PN.

“Bersendiri dalam PN, Khairy berkemungkinan ‘ditelan’ oleh politik PN berbanding membentuk PN sebagai entiti pluralis selaras etos pegangannya,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya benar Khairy menyertai PN dan berakhir dengan pihak kalah, sukar bagi bekas menteri kesihatan itu kembali bangkit, sekali gus memusnahkan imej progresifnya.

Penganalisis politik, Wong Chin Huat, berkata menyertai PN merupakan perjudian bagi Khairy.

“Beliau pastinya membawa sebahagian besar pengundi pertengahan Melayu dan penyokong setia Barisan Nasional,” kata profesor dari Sunway Universiti kepada FMT. “Bagaimanapun, imejnya terjejas kerana bersekutu dengan PN, terutama jika PAS membuat kenyataan tidak masuk akal.”

Wong berkata, walaupun PN berjaya menarik Khairy, bukan Melayu dan liberal kekal menyokong PH dan BN.

Tiada ulasan: