"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tujuh termasuk pegawai dan anggota polis didakwa dalam kes bunuh

Malaysiskini 

Tujuh individu terdiri daripada seorang pegawai kanan dan lima anggota polis serta seorang awam didakwa di Mahkamah Majistret di Tawau hari ini atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang lelaki pemandu e-hailing bulan lepas di sebuah ladang sawit di Tawau.

Lima anggota polis itu ialah Rosdi Rastam, 44, Dennis Enit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan orang awam Vivien Fabian, 34, didakwa dengan niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61.

Seorang lagi tertuduh yang merupakan pegawai kanan polis Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa bersubahat dengan enam individu itu untuk membunuh lelaki tersebut.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan lalu.

Enam individu itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama manakala Mat Zaki didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun, yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus serta tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 April ini.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhamad Iskandar Ahmad, DPP Khairul Azreem Mamat, DPP Muhammad Ilmami Ahmad, DPP Rohaiza Abdul Rahman dan DPP Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Tertuduh Rosdi diwakili peguam Kamarudin Mohamad Chinki serta Timothy Daut manakala Khairul Azman diwakili peguam Chen Wen Jye, Ram Singh dan Kimberly Ye bagaimanapun lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, tiga lagi individu yang dibawa ke mahkamah membabitkan kes sama diberi bon jaminan untuk hadir sebagai saksi pendakwaan iaitu orang awam Shim Vui Nyen dan dua anggota polis Usman Lanaga dan John Kennedy Sanggah.

Dzul Elmy menetapkan bon jaminan masing-masing RM20,000 untuk dua saksi polis manakala RM10,000 bagi saksi awam.

Terdahulu, lori polis yang membawa kesemua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah Tawau dengan kawalan ketat polis dan bergari pada 1.48 tengah hari sebelum prosiding bermula pada 2.50 petang.

Pada 30 Jan lalu, seorang penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di Tawau antara 7.30 dan 9 malam, 13 Jan lepas.

- Bernama

Tiada ulasan: