"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Doktor dari Malaysia tercampak dari katil

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tangisan dan jeritan kedengaran sana sini selain suasana gelap-gelita dan huru-hara.

Itu detik cemas diceritakan seorang rakyat Malaysia, Dr Mohamad Zikri Ahmad Tarmidi, 30, ketika gegaran pertama berlaku di pusat gempa, Kahramanmaras, Turkiye, awal pagi Isnin lalu.

Mohamad Zikri berkata, bencana yang berlaku kira-kira 4.30 pagi dengan magnitud 7.4 itu meruntuhkan kira-kira 90 bangunan termasuk kediaman dan hospital di tempat tinggalnya di Osmaniye, negeri berdekatan sempadan Syria, kira-kira 100 kilometer dari pusat gempa itu.

Katanya, dia tidak menyangka diuji dengan bencana itu kerana baru tiba ke Khamis lalu selepas bercuti ke Malaysia.

"Masa gegaran kuat itu, saya terjaga dari tidur sebelum rasa goyang sampai tercampak dari katil. Ketika itu saya tahu memang tidak sempat turun tangga dan sejujurnya saya hanya ingat mati saja, tetapi kekuatan datang hingga saya dapat membuka balkoni sambil berpaut pada dinding sebelum melaungkan azan dengan kuat tiga kali. Saya nampak pusat jana kuasa utama meletup diikuti dengan percikan api dan wayar pencawang di kawasan rumah saya turut terputus sehingga menyebabkan seluruh Osmaniye bergelap," katanya.

Mohamad Zikri yang bertugas sebagai pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan pelarian di negeri itu berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu dia hanya sempat mengambil telefon pintar serta dompetnya sebelum keluar menyelamatkan diri dari pangsapuri 10 tingkat itu.

"Saya menggunakan cahaya lampu telefon mencari barangan penting seperti pasport, tetapi saya sempat capai dompet saja kerana gegaran masih berlaku.

"Ketika itu, dua blok pangsapuri 90 meter di belakang rumah saya runtuh. Kalau ikutkan tiang utama pangsapuri saya retak, tetapi alhamdulillah Allah lindung kami apabila ia tidak runtuh," katanya yang menetap di Turkiye sejak lapan tahun lalu.

Katanya, gegaran berlaku selang satu hingga dua minit selama setengah jam pertama sebelum beransur-ansur perlahan.

"Pagi itu gegaran disusuli dengan hujan lebat serta suhu antara 0 hingga 2 darjah Celsius tetapi kesejukan itu tidak dapat mengatasi rasa takut kami. Masa itu saya dan semua penduduk yang terselamat panik, malah ada berlanggar sesama sendiri ketika menyelamatkan diri menggunakan kenderaan. Memang suasana huru hara dan gelap gelita hanya berpandukan cahaya lampu telefon bimbit selain terdengar suara kanak-kanak menangis dan jeritan orang memanggil ahli keluarga masing-masing," katanya.

Bapa kepada anak lelaki berusia empat tahun itu berkata, mereka berlindung di sebuah kedai makan yang terselamat dari runtuhan sebelum bantuan daripada Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye tiba.

Tiada ulasan: