Malaysiakini
Bersatu Negeri Sembilan bersedia menawarkan jawatan menteri besar kepada Khairy Jamaluddin jika bekas menteri itu mewakili Bersatu dalam pilihan raya negeri (PRN).
Ketua Bersatu negeri Eddin Syazlee Shith berkata parti itu tidak mempunyai masalah menawarkan jawatan itu kepada Khairy dengan mengatakan ia hanya "persoalan kecil".
"Kalau KJ (Khairy) sertai Bersatu dan bertanding di Negeri Sembilan, kita tiada masalah untuk tawarkan dia kerusi menteri besar.
"Bagi saya itu adalah persoalan kecil kerana pentingnya kita nak memastikan kemenangan dan semestinya siapa saja yang dirasakan ada nilai dan difikirkan sesuai oleh presiden, jadi dia boleh jadi menteri besar. Itu kita serah pada pucuk pimpinan," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Eddin menambah memandangkan Khairy seorang pemimpin yang kuat, dia boleh menambah nilai kepada Bersatu jika menyertai parti itu.
“Tapi sehingga kini kita tak tahu status sebenar KJ (selepas dipecat daripada Umno),” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan itu.
Bagaimanapun, Eddin mengakui PN dan Bersatu masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Khairy di peringkat negeri bagi membincangkan perkara ini.
"Kita tak mahu terlalu ramai pergi jumpa, takut nanti ada perkara yang tak selari.
"Jadi kita serah pada pucuk pimpinan saja dan jika ada arahan susulan kita akan ikut," katanya.
Sebelum ini, dilaporkan Khairy sedang mempertimbangkan tawaran untuk bertanding di Selangor selain tawaran menjadi menteri besar sekiranya menang.
"Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai peranan itu," kata bekas menteri kesihatan itu dalam pertemuan dengan Kelab Concorde - kumpulan tidak rasmi editor dan wartawan kanan yang diketuai oleh Wong Chun Wai.
Bagaimanapun, bekas ahli parlimen Rembau itu belum memutuskan sama ada mahu menyertai PRN Selangor - yang mesti diadakan tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan