FMT Reporters
PETALING JAYA: Parti politik yang ingin bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor disaran menamakan calon menteri besar dan barisan exconya untuk dinilai pengundi.
Bendahari PAS Pusat, Iskandar Abdul Samad berkata pengundi lebih cerdik dan bermaklumat kerana tahu siapa yang akan menerajui pentadbiran, jika sesebuah parti atau pakatan politik memenangi PRN.
“Amalan hanya menamakan calon menteri besar dan juga barisan exco selepas memenangi pilihan raya adalah amalan lapuk ketinggalan zaman dan tidak sesuai di negeri maju seperti Selangor.
“Kenyataan seperti undi saja kami, nanti kami tahulah nak buat apa, tidak lagi dapat diterima dalam politik moden hari ini sepertimana telefon Nokia 3010,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sekiranya parti politik serius memenangi PRN, calon mereka mesti berkemampuan mentadbir negeri.
“Majoriti pengundi bukan ahli parti, mereka tidak memiliki taat setia kepada mana-mana parti dan tiada masa untuk sebarang sentimen dalaman yang lazimnya menguasai orang parti,” katanya.
Iskandar berkata, pengundi akan memilih calon berdasarkan merit dan kadangkala terdapat parti yang jahil terhadap faktor mempengaruhi pengundi membuat pilihan.
Beliau turut mengingatkan parti politik tidak “syok sendiri”, sebaliknya bertanyakan rakyat apa yang mereka mahu.
“Jangan pula kita merasakan calon kita hebat berdasarkan kerja-kerja mereka di dalam parti, tetapi ditertawakan rakyat.
“Soalan yang pengundi akan tanya adalah mana lagi hebat calon pembangkang atau wakil rakyat sekarang? Dan juga, calon MB dan exco pembangkang atau MB dan exco sekarang?”
Untuk itu, katanya, jawablah dengan ikhlas tanpa sebarang prejudis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan