Izad Thaqif Hassan
am@hmetro.com.my
Alor Setar: Berang selepas dia dan isterinya dimarah, seorang pembantu tukang masak menumbuk serta memukul muka majikannya hingga mangsa meninggal dunia di sebuah restoran di Jalan Stadium, di sini semalam.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa yang juga lelaki warga emas berusia 68 tahun itu rebah selepas ditumbuk dan dipukul menggunakan kayu oleh suspek yang berusia 55 tahun.
Menurut sumber, kejadian berlaku ketika suspek bersama isteri serta anak perempuannya bekerja di restoran terbabit sebelum berlaku perselisihan faham di belakang restoran.
"Hasil siasatan awal mendapati perselisihan faham itu berlaku antara anak mangsa dan isteri suspek yang berang kerana anak pemilik restoran berkenaan menuang air bilasan pinggan ke dalam bekas peralatan yang sudah dicuci.
"Mangsa kemudian keluar dari restoran dan terus memarahi isteri suspek sebelum berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa," katanya.
Sumber berkata, mangsa dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek membuatkan pekerjanya itu hilang sabar dan menyerangnya menggunakan sebatang kayu.
"Bagaimanapun, perbuatan itu cuba dihalang oleh anak masing-masing namun suspek dikatakan sempat melepaskan tumbukan beberapa kali di muka mangsa sebelum pergaduhan itu dileraikan.
"Mangsa ketika itu dilihat masih sedar sebelum dia rebah secara tiba-tiba membuatkan anaknya terus menghubungi ambulans," katanya.
Menurutnya, pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mempunyai sejarah serta rekod penyakit jantung, darah tinggi dan sakit tulang belakang.
"Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa dan punca hanya akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan dalam tempoh terdekat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan.
Menurutnya, setakat ini seorang lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan