"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M terkilan dan sedih ditolak pada PRU-15

Hamzah Osman

am@hmetro.com.my

Langkawi: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terkilan dan sedih selepas ditolak pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lalu.

Bekas Perdana Menteri itu meluahkan rasa kecewa susulan usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenangi pada PRU-14 gagal, malah hilang wang deposit.

Beliau berkata, komitmennya membangunkan pulau legenda itu menerusi pemberian status bebas cukai pada 1987 sehingga gah di persada dunia seolah-olah tidak dihargai.

"Bukan merajuk, tapi kecewa sedikit (atas kekalahan teruk dalam PRU-15) kerana saya buat macam-macam (pembangunan) di Langkawi.

"Saya ditolak jatuh merudum dan hilang 14,000 undi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jasamu Dikenang di Hotel Goldsands di sini, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau turut hairan ditolak pada PRU lalu kerana yakin tidak melakukan sebarang kesalahan memudaratkan penduduk.

"Saya pun tidak tahu apa kesalahan yang sudah buat (sehingga ditolak)," katanya.

Pada PRU-15 lalu, negarawan itu tewas kepada calon Perikatan Nasional, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dengan majoriti 13,518 undi.

Dr Mahathir memperoleh 4,566 undian.

Sementara itu ketika mengulas isu pembekuan akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata, perkara itu tiada kena mengena dengan dirinya.

"Dulu saya yang tubuh Bersatu, tapi ketika itu tidak curi duit dari mana-mana, kemudian parti berpecah dua, Bersatu sekarang di bawah (Tan Sri) Muhyiddin Yassin.

"Saya tiada kena-mengena kerana tidak lagi berada dalam Bersatu dan itu masalah mereka, manakala saya kini adalah Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA)," katanya.

Tiada ulasan: