FMT Reporters
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyiasat dakwaan seorang wanita anaknya dijemur di tengah panas kerana datang lambat di sebuah sekolah agama di Pasir Gudang, baru-baru ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pihaknya mengarahkan Bahagian Pendidikan Islam di JAINJ dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah mendapatkan laporan terperinci mengenai kejadian itu.
“Siasatan akan dilakukan dengan terperinci,” katanya menurut Sinar Harian.
Terdahulu, tular di TikTok satu video yang dirakam seorang wanita mendakwa anaknya berusia tujuh tahun berseorangan berdiri di tengah panas.
Wanita tersebut mendakwa anaknya didenda kerana datang lambat ke sekolah. Menurut video itu kejadian berlaku kira-kira 2 petang di sebuah sekolah agama di Pasir Gudang.
Video tersebut mengundang kecaman pengguna media sosial yang berkata, tindakan sekolah itu bertentangan arahan Kementerian Pendidikan yang melarang sebarang aktiviti luar kelas akibat cuaca panas melanda negara ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan