"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelik macam mana boleh tempuh 3 simpang, 1 lampu isyarat

Hamzah Osman
am@hmetro.com.my

Langkawi: Penduduk kampung dan jiran keluarga kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta sehingga terbabas kelmarin, masih tertanya-tanya dan buntu memikirkan bagaimana kejadian itu berlaku.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kanak-kanak berkenaan bersama adiknya berusia tiga tahun dikatakan memandu kereta Toyota Vios milik keluarganya dari rumah mereka di Kampung Baru Teluk, Mukim Ulu Melaka menuju ke kawasan kedai di pekan Ulu Melaku sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Dalam perjalanan itu, kenderaan terbabit dikatakan perlu melintas sekurang-kurangnya tiga persimpangan termasuk perlu melalui lampu isyarat di pekan Ulu Melaka sebelum kereta itu dilaporkan terbabas.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Kod, 34, berkata pada malam kejadian, dia ada berselisih dengan kereta terbabit yang dipandu di jalan tar mini menghala ke jalan besar.

"Memang ketika berselisih dengan kereta itu saya rasa pelik sebab kereta dipandu di tengah jalan yang sempit hingga menyebabkan saya terpaksa mengelak sehingga ke semak di tepi jalan.

"Ketika itu waktu hampir jam 11 malam dan akibat keadaan gelap saya tidak nampak siapa yang memandu kereta itu, tapi gaya memandu kereta putih itu memang luar biasa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mat Kod yang juga seorang nelayan berkata, dia masih tertanya-tanya dan seperti tidak percaya apabila mendapat berita mengatakan kereta yang berselisih dengannya itu dipandu kanak-kanak yang kemudian terbabit kemalangan.

Seorang penduduk lain juga jiran kepada keluarga itu dan mahu dikenali sebagai Kak Yah, 41, berkata dia turut hairan bagaimana kanak-kanak terbabit dapat memandu sejauh 2.5 km sebelum kemalangan.

"Pada hemat saya, agak mustahil bagi seorang kanak-kanak untuk memandu di jalan tar mini yang sempit dan berselekoh, kemudian perlu berhenti di simpang tiga sebelum ke jalan utama yang dilalui banyak kereta.

"Keseluruhannya, kereta itu perlu melalui tiga simpang tiga dan satu daripadanya mempunyai lampu isyarat, sebelum kereta itu dikatakan terbabas dan melanggar tiang lampu," katanya.

Pada masa sama, Kak Yah berkata, dia tidak kenal rapat dengan keluarga kanak-kanak berkenaan kerana keluarga terbabit jarang ada di rumah kerana sibuk bekerja dan dua kanak-kanak terbabit juga tidak bermain di luar rumah.

Sementara itu, usaha wartawan mendapatkan komen kedua ibu bapa kanak-kanak terbabit gagal kerana panggilan telefon dan pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp tidak dibalas.

Tinjauan ke rumah keluarga kanak-kanak terbabit pula mendapati pintu pagar berkunci rapat dan tiada tanda ada penghuni di rumah berkenaan.

Terdahulu tular di media sosial rakaman dikatakan perbualan antara kanak-kanak lelaki dan ibunya mendakwa kereta terbabit sebenarnya dipandu seorang lelaki tua berbadan besar, hitam dan berbulu yang dipanggil sebagai tok wan.

Bagaimanapun, kesahihan rakaman berkenaan tidak dapat dipastikan setakat ini dengan usaha mendapatkan keluarga berkenaan masih dilakukan.

Tiada ulasan: