"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP PKR ucap tahniah Dr M kini 'ketua umum' PN

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung secara sinis mengucapkan tahniah kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung 'kepimpinannya' dalam Perikatan Nasional (PN).

"Tahniah kepada Mahathir kerana beliau telahpun menjadi 'ketua umum' kepada PN.

"Presiden PAS Abdul Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu bersama Mahathir.

"Kini, Faizal (Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu) sebagai pimpinan kanan Bersatu pula mendukung kenyataan beliau.

“Jelas bahawa pengaruh PAS dan Bersatu dilihat makin merosot sehingga perlu bergantung kepada kekuatan Mahathir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemimpin PKR itu mengulas tindakan beberapa pemimpin PAS menandatangani "Proklamasi Orang Melayu" yang digerakkan Mahathir.

Mahathir dan Anwar kini kembali bertelagah berhubung dakwaan isu aset walaupun saman dikemukakan masih belum selesai di mahkamah.

Mahathir meminta Anwar mengisytiharkan hartanya ketika berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari 1993 hingga 1998, dengan mendakwa Anwar adalah antara "pemimpin terdahulu" yang dituduh kronisme.

Gesaan itu dilontarkan selepas Anwar mengulangi gesaannya kepada Mahathir supaya mendedahkan berapa kekayaan kroni ahli keluarga dan keluarganya, yang kini menjadi subjek saman fitnah RM150 juta oleh bekas pengerusi Bersatu itu.

Terdahulu hari ini, Ahmad Faizal memberitahu Star bahawa GTA tidak mungkin dapat bertahan dlsecara bersedirian.

Katanya, Mahathir mungkin berpengaruh tetapi gabungan itu tidak seperti PN.

“Dengan jumlah parti Melayu sekarang, adalah lumrah pengundi Melayu menuntut satu kuasa yang menyatukan semua parti Melayu.

“GTA adalah seperti cawan kecil. Anda tidak boleh menuangkan segala-galanya daripada cawan besar ke cawan kecil,” katanya, sebelum meminta GTA menyokong PN tanpa syarat.

“Bersatu komited untuk menegakkan hak orang Melayu dan Islam, serta untuk semua kaum dan agama di Malaysia. Memandangkan GTA seolah-olah memperjuangkan cita-cita yang sama, kami mengalu-alukan GTA untuk memberi sokongan kepada kami untuk menyingkirkan mereka yang telah mempermainkan pengundi Melayu pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Tiada ulasan: