Sean Augustin dan Nicholas Chung
Kedua-dua veteran politik itu memperjuangkan penyatuan Melayu tetapi jauh berbeza mengenai cara untuk mencapainya.
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sejak berpuluh tahun lantang bersuara mengenai pentingnya penyatuan Melayu, namun berbeza dalam cara untuk mencapainya.
Dalam temu bual berasingan kedua-dua pemimpin itu bersama FMT baru-baru ini, dapat disimpulkan bahawa bagi Mahathir, matlamat menghalalkan cara, namun sebaliknya bagi Tengku Razaleigh.
Bagi Mahathir, platform tidak begitu penting berbanding dengan tujuannya. Sama ada dalam Umno, Bersatu, Pejuang atau Gerakan Tanah Air, temanya sentiasa tentang menyatukan orang Melayu atau menghadapi risiko bahawa komuniti ini akan menjadi lemah dari segi politik dan ekonomi berbanding dengan bukan Melayu.
Bagaimanapun, bagi Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, Umnolah yang menyatukan orang Melayu, yang mana dahulunya mereka berpecah mengikut garis parokial, menganggap diri mereka sebagai orang Johor, Kelantan atau Selangor terlebih dahulu.
Namun, Mahathir berpendapat, orang Melayu kini berpecah, dan beliau menyalahkan penggantinya (Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak) atas perpecahan mendalam dalam komuniti yang disebabkan oleh penubuhan parti-parti serpihan. Menurutnya, kesetiaan kepada entiti ini melemahkan komuniti tersebut.
“Jika anda hanya setia kepada parti (serpihan), maka orang Melayu akan berpecah, dan akan kalah pada pilihan raya. Tetapi jika mereka tidak terikat kepada parti maka mereka boleh bersatu,” katanya.
Mahathir berhujah bahawa Umno pada zaman dahulu memperjuangkan perpaduan Melayu, berdasarkan prinsip ‘demi agama, bangsa dan negara’.
Tengku Razaleigh bagaimanapun berpendapat, Umno menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang ‘membina, bukan mendominasi’, dan orang Melayu harus berterima kasih kepada Umno atas keupayaannya menyatukan komuniti tersebut.
Rasa hormat pada Umno ini membuatkan Tengku Razaleigh setia kepada parti itu, kecuali untuk tempoh singkat apabila beliau menubuhkan Semangat 46 pada 1980an selepas pertembungan dengan Mahathir yang memecahkan Umno kepada dua kem.
Tengku Razaleigh tekad untuk setia bersama Umno, walaupun pada Mei lepas menyifatkan parti itu ditakdirkan untuk gagal.
“Saya akan berjuang, bukan tinggalkan (parti) dan ikut haluan sendiri. Saya rasa (tindakan) itu tidak betul,” katanya.
Beliau berkata, jika merasakan parti itu menuju ke arah yang salah, maka pemimpin seperti itu harus berjuang untuk membawanya kembali ke jalan yang betul.
Faktor lain yang mendorong Tengku Razaleigh setia dalam Umno ialah hakikat beliau bukan oportunis yang akan berpaling tadah kepada mana-mana pasukan yang menang.
Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini, dari 1986 hingga 2022, lebih suka melihat ke hadapan, pada masa depan orang Melayu, sentiasa memikirkan: “Apa yang akan jadi kepada orang Melayu?”
Tengku Razaleigh dan Mahathir bertembung pada 1980an ketika Mahathir menjadi perdana menteri. Perselisihan antara mereka memuncak apabila Tengku Razaleigh mencabar Mahathir bagi merebut jawatan presiden Umno pada 1987. Kejadian ini mencetuskan perpecahan terbuka dalam parti Melayu itu dan membawa kepada penubuhan Umno (Baru).
Walaupun Tengku Razaleigh menjadi pengasas bersama parti serpihan Umno, Semangat 46 pada 1989 untuk mencabar Mahathir, beliau kemudiannya membubarkan parti itu dan kembali menyertai Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan