"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gambar PAS kabur sepanduk PN ‘jelas’ tunjuk perselisihan dalaman

FMT Reporters

Azmi Hassan berpendapat PAS cuba menunjukkan ia boleh bergerak sendiri tanpa PN dan Bersatu.
Kelihatan sepanduk PN dikaburkan dalam gambar Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berucap pada ceramah di Sungai Bakap minggu lepas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Perselisihan antara PAS dan Bersatu kelihatan ‘lebih jelas’ selepas naib presiden parti itu, Mohd Amar Abdullah, memuat naik gambar sebuah acara di Facebook dengan sepanduk Perikatan Nasional (PN) dikaburkan, kata seorang penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata, ura-ura mengenai hubungan renggang antara dua komponen PN itu mula timbul ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu dua bulan lepas.

Menjelang hari pengundian pilihan raya kerusi DUN Selangor itu, Ilham Center memerhatikan kempen PAS untuk calon Bersatu, Khairul Azhari Saut, jelas semakin perlahan.

Badan pemikir itu berkata, PAS, yang menjadi tonggak jentera pilihan raya pakatan pembangkang, tidak sepenuhnya mengerah ahlinya berkempen. Katanya, PAS Selangor juga kelihatan tidak agresif berkempen, malah jentera dari negeri lain tidak menunjukkan muka.

“Apa yang PAS sebenarnya cuba tunjukkan adalah mereka boleh bergerak sendiri, tidak perlukan Bersatu, di Sungai Bakap mahupun kawasan lain di mana pengundinya 60% hingga 70% Melayu,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, gambar yang dimuat naik Amar itu juga menambah kepercayaan bahawa PAS mungkin terlibat dalam ‘perbincangan’ tentang kerjasama dengan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Minggu lepas, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil enggan mengulas spekulasi PAS menyertai gabungan itu, manakala beberapa pemimpin PAS turut menyangkal dakwaan itu.

Bagaimanapun, Azmi berkata, perbincangan itu mungkin lebih berkisar kepada usaha menjalin hubungan dengan Putrajaya.

“Saya rasa PAS cuba lebih mesra dengan kerajaan pusat, bukan khusus dengan Pakatan Harapan (PH) atau Umno.”

“Tetapi bagaimana (rupanya) hubungan itu, masih dalam perbincangan,” katanya.

Pada 24 Jun, Amar yang juga speaker DUN Kelantan memuat naik beberapa gambarnya berceramah ketika kempen PRK Sungai Bakap. Enam daripada gambar yang dimuat naik itu menunjukkan sepanduk PN dikaburkan.

Bagaimanapun, Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia mengingatkan agar perkara ini tidak diambil terlalu serius.

“Kemungkinan PAS menyertai kerajaan Madani tipis selagi masih ada DAP (dalam kerajaan).”

Tiada ulasan: