"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bendera China terpampang pada badan naga: Apa motif mereka?

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
BENDERA China terpampang pada badan naga ketika perarakan di bandar Muar. FOTO tular.
BENDERA China terpampang pada badan naga ketika perarakan di bandar Muar. FOTO tular.
Muar: "Apa motif mereka? Adakah cuba untuk menimbulkan kemarahan?" kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar, Selamat Takim mengulas insiden bendera China dipamerkan pada badan naga ketika perarakan sempena sambutan ulang tahun sebuah persatuan di Muar, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang turut menuntut tindakan lebih tegas diambil pihak berkuasa ke atas pihak bertanggungjawab kerana insiden seumpama itu kerap berlaku.

Selamat berkata, tindakan pihak penganjur melakukan perkara itu seolah-olah cuba menimbulkan sentimen kemarahan terhadap penduduk di negara ini.

"Sebelum ini berlaku di Bukit Gambir sekarang di Muar seolah-olah ada pihak yang cuba membakar sentimen kemarahan.

"Mereka tidak peka dan tidak sensitif terhadap sekeliling tentang peraturan, Perlembagaan dan undang-undang di mana istilah dipanggil 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' nampaknya lari dari landasan hidup sebagai warga Malaysia," katanya katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kata Selamat keadaan itu berlaku kemungkinan pihak keselamatan tidak memeriksa secara rapi tentang bentuk perayaan yang hendak disambut.

Jelasnya, walaupun tindakan atau siasatan sudah diambil untuk mengenal pasti penganjur, pihak berkuasa perlu bertanya apa matlamat utama mempamerkan bendera negara asing itu.

"Walaupun kita tahu ada Jalur Gemilang dipamerkan tapi pihak berkuasa perlu mendapat penjelasan apa tujuan penganjur mempamerkan bendera China sempena perarakan itu.

"Sebagai rakyat Malaysia apa jua perkara yang boleh mengancam keharmonian negara kita tidak boleh berkompromi.

"Tanpa kawalan pihak keselamatan benda itu terlepas pandang maka ia menjadi satu isu yang begitu hangat hingga menaikkan sentimen kemarahan orang ramai," katanya.

Semalam, polis dalam kenyataan menjelaskan tiga kertas siasatan dibuka susulan terdapat bendera China pada naga ketika perarakan di Muar.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan; Seksyen 6 (2) Akta Perhimpunan Aman 2021 dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Kejadian ini adalah kedua dalam tempoh kurang sebulan selepas perkara sama berlaku ketika festival lampu LED di Bukit Gambir, Tangkak, hujung bulan lalu.

Bendera China dikesan pada replika roket selepas aduan penduduk dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan: