"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita maut tercampak keluar dari van, polis sahkan bukan Pamela Ling

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wanita maut selepas tercampak keluar dari van di tepi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada 2.35 petang, dengan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan mengesahkan mangsa bukan Datin Seri Pamela Ling yang dilapor hilang.

Menurutnya, polis dimaklum kejadian oleh lelaki yang menghubungi talian MERS 999 selepas melihat mangsa tercampak dari sebuah van di tepi lebuh raya berkenaan dan kenderaan itu kemudian melarikan diri.

"Mangsa adalah seorang wanita berusia 44 tahun dan beralamat di Menglembu, Ipoh, Perak.

"Mangsa maut di lokasi dan kematiannya disahkan oleh pihak perubatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, difahamkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suspek yang dipercayai suaminya, sebelum mangsa tercampak keluar, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk dibedah siasat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan Pamela Ling yang terus menjadi tanda tanya apabila dikatakan diculik lelaki dan wanita yang memakai ves serta seragam polis ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu.

Tiada ulasan: