Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

YUSMAR (kiri) menunjukkan cerbisan komponen motosikal suspek yang terbakar di atas jalan di hadapan rumahnya di Taman Bukit Katil Permai. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Seorang imam dihantui kebimbangan apabila kereta miliknya dan anak perempuan dibakar lelaki tidak dikenali di rumah bandar (Townhouse) mereka di Taman Bukit Katil Permai, di sini.
Mangsa, Yusmar Yusof, 65, mendakwa tidak pernah bermusuhan mahupun berhutang dengan sesiapa menyebabkan dia buntu memikirkan motif di sebalik kejadian mengejutkan itu.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 1.35 tengah hari kelmarin menyebabkan kereta Perodua Bezza miliknya dan Perodua Axia milik anak perempuannya musnah terbakar.
"Waktu itu saya sedang berehat di ruang tamu dan terkejut apabila melihat cahaya api di garaj di depan rumah.
"Sebaik keluar, saya terkejut melihat api marak membakar kereta Perodua Bezza dan Axia yang diletakkan di garaj. Pada masa sama sebuah motosikal turut terbakar di atas jalan.
"Saya menjerit meminta tolong dan cuba memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api sebelum dibantu beberapa jiran sebelum anggota bomba tiba," katanya ditemui di rumahnya.
Menurut Yusmar, awalnya dia menyangkakan motosikal itu melanggar keretanya hingga terbakar.
"Namun menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bermotosikal berhenti di hadapan rumah saya sebelum menyimbah petrol diisi di dalam baldi ke arah kereta Bezza serta Axia sebelum membakarnya.
"Selepas api dipadamkan, saya menjumpai cebisan topi yang digunakan untuk menyalakan api. Ia sudah diambil pihak bomba untuk siasatan forensik.
"Difahamkan pihak bomba juga menjumpai dua botol kosong di tepi jalan yang disyaki digunakan untuk mengisi petrol sebelum dituang ke dalam baldi," ujarnya. Imam II Surau Islamiah Taman Bukit Katil Permai itu berkata, dia bersyukur kejadian itu tidak mendatangkan kecederaan kepada keluarganya.
"Ketika kejadian, anak perempuan saya sedang bersiap untuk menghadiri majlis kenduri di Klebang.Mujur dia dan adiknya belum masuk ke dalam kereta.
"Syukur Allah SWT masih melindungi kami sekeluarga dan rumah tidak terbakar. Sepanjang 30 tahun menetap di sini, inilah kali pertama berlaku kejadian seperti ini," katanya berharap si pelaku segera ditangkap dan menyerahkan kepada pihak polis melakukan siasatan.
Media sebelum ini melaporkan, tindakan seorang lelaki melakukan khianat membakar dua kereta memakan diri apabila motosikal ditungganginya turut disambar api sejurus melakukan jenayah itu di Taman Bukit Katil Permai, di sini.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan polis masih mengesan suspek terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan