"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Stesen radio mohon maaf selepas tersilap umum kemangkatan Raja Charles

Astro AWANI

LONDON: Sebuah stesen radio di United Kingdom (UK) memohon maaf kepada Raja England, Raja Charles III dan pendengarnya selepas secara tidak sengaja mengumumkan berita kemangkatan baginda.

Pengurus stesen Radio Caroline, Peter Moore dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosial berkata, kesilapan itu berpunca daripada ralat sistem komputer di studio utama mereka.

“Akibat ralat komputer di studio utama kami, prosedur ‘Kemangkatan Seorang Raja’ yang sememangnya disediakan oleh semua stesen di UK, telah diaktifkan secara tidak sengaja pada petang Selasa (19 Mei), sekali gus tersilap mengumumkan bahawa Raja telah mangkat,” katanya.

Menurut beliau, susulan pengumuman tersebut, siaran Radio Caroline turut dihentikan seketika seperti yang ditetapkan oleh protokol rasmi.

“Keadaan itu menyedarkan kami untuk segera memulihkan siaran serta mengemukakan permohonan maaf secara langsung kepada pendengar,” katanya lagi.

Moore turut menyifatkan stesen tersebut berbesar hati kerana pernah menyiarkan ucapan Krismas Ratu Elizabeth II dan kini Raja Charles III.

“Kami berharap dapat terus menyiarkan ucapan tersebut untuk tempoh yang lama. Kami memohon maaf kepada Raja dan para pendengar atas sebarang keresahan yang timbul akibat insiden ini,” katanya.

Radio Caroline yang ditubuhkan pada 1964 kini bersiaran di beberapa negara termasuk Belgium dan Belanda, selain boleh diakses secara dalam talian di seluruh dunia.

Pada hari kejadian, Raja Charles dan Permaisuri Camilla berada di Belfast, Ireland Utara.

Menurut Istana Buckingham, pasangan diraja itu menghadiri sebuah acara kebudayaan di Thompson Dock - kawasan bersejarah tempat kapal Titanic pernah dibina sebelum pelayaran sulungnya.

Di lokasi tersebut, baginda berdua turut bertemu penggiat seni dan penganjur festival muzik tradisional Ireland, Fleadh Cheoil na hÉireann, yang dijadual berlangsung pada Ogos.

Selain itu, pasangan diraja itu turut melawat penyulingan whiskey Titanic sebelum Raja berkenan mengunjungi sebuah badan amal tempatan yang memberi fokus kepada latihan kemahiran bagi kerjaya digital.

Raja Charles dan Permaisuri Camilla kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertama serta Timbalan Menteri Pertama Ireland Utara di Istana Hillsborough, kediaman rasmi diraja berhampiran Belfast.

Raja Charles, 77, sebelum ini mengumumkan pada Februari 2024 bahawa baginda disahkan menghidap kanser. 

Dalam satu mesej video pada Disember lalu, baginda memaklumkan rawatan akan dikurangkan tahun ini susulan perkembangan positif terhadap rawatan yang diterima.

Sepanjang bulan lalu, baginda turut mengadakan lawatan ke New York dan Washington, DC, termasuk menyampaikan ucapan di Kongres Amerika Syarikat sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu. 

Baginda juga berucap di Parlimen United Kingdom minggu lalu. - Agensi

Tiada ulasan: