Ferzalfie Fauzi

BolaRotanTV
KUALA LUMPUR: Sejarah tercipta di Stadium Titiwangsa apabila skuad kuadran negara buat kali pertama merangkul kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw selepas menumbangkan India 2-0 dalam aksi final sebentar tadi.
Kemenangan itu juga setidak-tidaknya mengubati kekecewaan dalam acara regu yang terkandas di separuh akhir petang tadi dan mengulangi pencapaian muncul juara di Piala Asia tahun lalu.
Malaysia yang dibarisi Afifuddin Razali (dan Shahalril Aiman Halim selaku perejam serta Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan/ketua pasukan) berjaya mempamerkan permainan meyakinkan.
Dalam aksi set pertama kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehingga terikat 14-14, dengan India nampak lebih meyakinkan melalui dua perejam mereka Akash Yumnam, Bobby Kumar sentiasa mempamerkan pelbagai variasi rejaman.
Bagaimanapun, kuartet negara mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan dan dibantu dengan sokongan padu hampir 3,000 penyokong mencatat kemenangan 17-15.
Pada aksi set kedua kuartet negara dilihat lebih tenang dan mengawal permainan dengan baik sebelum mencatat kemenangan 15-10.
Dua lagi pemain yang beraksi untuk India ialah Sorokhaibam Malemnganba Singh dan Ram Kumar Sharma.
Sementara itu, Thailand bergelut untuk muncul juara dalam acara regu selepas diheret Myanmar beraksi sehingga tiga set.
Thailand yang membariskan Pornthep Tinbangbon, Chatuphon Siriat dan Marukin Phanmakon berjaya mencatat kemenangan 2-1 menumpaskan trio, Thant Zin Tun, Aung Aung dan Ye Htet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan