"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nenek ditahan pandu kereta lawan arus di lebuhraya Dash

FMT Reporters

Warga emas berusia 80an itu ditahan selepas video kejadian tersebut tular di media sosial.
Tangkap layar video tular menunjukkan sebuah kereta dipandu melawan arus di Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (Dash) semalam.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita warga emas berusia dalam lingkungan 80an kerana memandu kereta melawan arus di Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (Dash) semalam.

Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat berkata wanita warga emas itu ditahan hari ini selepas video kejadian tersebut tular di media sosial.

Shamsudin berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9.30 malam di KM10.8 lebuh raya berkenaan apabila pemandu kereta itu dipercayai tersesat ketika dalam perjalanan pulang.

“Suspek kemudian memandu melawan arus untuk mencari susur keluar dari Lebuhraya Dash.

“Tiada kemalangan dilaporkan membabitkan kenderaan suspek dengan kenderaan lain atau objek lain,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Shamsudin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata orang awam yang menyaksikan atau berada di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik S. Jayseelan di talian 018-258 2531 atau IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan sebuah kereta Perodua Kenari dipandu melawan arus di lebuhraya Dash sebelum ditahan penunggang motosikal.

Tiada ulasan: