Malaysiakini
Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan dirinya tidak akan kembali ke pangkuan parti itu kerana mendakwa prinsip keadilan asas PKR telah pun dilanggar dengan teruk.
Menurut bekas menteri itu, keputusan untuk tidak kembali atau melakukan perdamaian bukan disebabkan oleh isu merajuk mahupun perebutan jawatan, sebaliknya keputusan itu telah dibuatnya seawal April lalu.
Dakwanya, dia telah membaca "permainan" politik dalam parti itu sejak dua minggu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk memberikan laluan mudah kepadanya.
"Mesej sebenar Datuk Seri Anwar ialah: 'Saya tak nak you ada pengaruh dalam parti. Jadi teknokrat. Duduk diam. Terima jawatan timbalan presiden tanpa bertanding tapi dari cabang sampai MPP (Majlis Pimpinan Pusat), semua orang saya.'
"Maksudnya apa? Duduk sorang-sorang dalam MPP. Kena maki, kena dengar, jadi rubber stamp. Depan cakap lain, belakang cakap lain, buat lain, umum lain," katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Rafizi menjelaskan penglibatannya dalam dunia politik bukanlah untuk mengejar kemenangan, jawatan menteri, mahupun pangkat, sebaliknya demi membetulkan keadaan.
Bagaimanapun, dia mendakwa PKR kini sudah berada di peringkat menipu anggotanya sendiri melalui pelbagai penyelewengan sistem.
"Keanggotaan RM200 untuk jadi ahli baharu, laporan polis mengenai rasuah, setiausaha-setiausaha politik PM sendiri menggerakkan jentera, blockchain, fenomena kepala tanpa badan, sistem one member one vote dibuang dan diganti dengan sistem perwakilan.
"Bila sesebuah parti dah hilang benda paling asas, sense of fairness, parti itu dah rosak. Mencuri boleh. Menipu boleh. Salah guna kuasa boleh. Dah tak perlu tanya betul atau salah," katanya lagi.
Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang memintanya menunggu peletakan jawatan Anwar sebelum membetulkan keadaan, Rafizi mendakwa bahawa beberapa pimpinan lain telah pun menyusun sistem tersebut.
Katanya, sistem yang telah dicurangi sekali akan terus dicurangi pada masa hadapan, dan dia enggan berkompromi demi mengejar kedudukan.
"Kecuali saya pergi cium tangan. Tapi bukan sebab itu saya dalam politik. Panggil prinsip ke, merajuk ke, apa pun.
“Tapi garis merah itu dah dilanggar. Dan dilanggar dengan teruk sekali," katanya.
Ahad lalu, Rafizi Ramli bersama seorang lagi bekas menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan langkah untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Perkara itu diumumkan dalam satu majlis khas di Petaling Jaya yang dihadiri kira-kira 800 penyokong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan