KOSMO

Pesawat itu tergelincir dari landasan semasa berlepas dari Lapangan Terbang Split baru-baru ini. - The Online Citizen
ZAGREB – Penumpang penerbangan Croatia Airlines berdepan detik cemas apabila pesawat dinaiki mereka terbabas semasa berlepas dari sebuah lapangan tebang di Croatia, lapor akhbar Times of India.
Kejadian melibatkan pesawat jenis Airbus A220-300 ketika berlepas dari bandar Split menuju Frankfurt, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan pesawat tergelincir dari landasan sebelum berhenti di atas kawasan berumput.
Semua 130 penumpang dan lima anak kapal dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Pesawat Airbus A220-300 milik Croatia Airlines dibatalkan perlepasan di Lapangan Terbang Split.
“Berdasarkan maklumat awal, perlepasan dibatalkan selaras dengan prosedur keselamatan. Penumpang diturunkan dan akan menerima bantuan untuk meneruskan perjalanan,” kata Croatia Airlines.
Pihak berkuasa Lapangan Terbang Split berkata, pesawat itu rosak selepas melanggar lampu di tepi landasan dan papan tanda menegak semasa berlepas.
Lapangan Terbang Split ditutup sementara ketika pasukan tindak balas kecemasan dan kru teknikal berusaha mengalihkan pesawat serta memeriksa landasan bagi sebarang kerosakan.
Siasatan giat dijalankan untuk mengenal pasti punca insiden tersebut. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan