Malaysiakini
Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun, mendakwa dia tidak dijemput untuk menyertai parti baru ditubuhkan Rafizi Ramli - Bersama - di sebalik statusnya sebagai salah seorang penyokong kuat ahli politik terbabit.
Powered By VidCrunch
Pada masa sama Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, dia menghormati hak dan keputusan diambil bekas Timbalan Presiden PKR serta Ahli Parlimen Pandan berkenaan.
"Saya tak diajak. Mula-mula dia kata (nak umum) hala tuju, saya tak tahu dia buat parti baru (tapi) kita hormatlah.
"Dia nak buat parti sendiri terpulang pada dia," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Seremban hari ini.
Rafizi - bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad - pada 17 Mei lalu mengumumkan langkah terbaru mereka dalam politik dengan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Perkara itu diumumkan dalam satu majlis khas di Petaling Jaya dan dihadiri kira-kira 800 penyokong. Parti Bersama Malaysia - atau Malaysian United Party - didaftarkan di Pulau Pinang pada tahun 2016.
Turut diumumkan ialah logo baru parti itu iaitu sang kancil bagi menggantikan logo lamanya. Rafizi dan Nik Nazmi juga mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai ahli parlimen berkuatkuasa semalam.
Untuk rekod Rafizi membentuk pasukan Hiruk (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa) bagi menghadapi cabaran pasukan Damai (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif) dalam pemilihan PKR pada tahun lalu.
Salah seorang anggota Hiruk ialah Aminuddin sendiri.
Rafizi mengetuai Hiruk dalam usahanya mempertahankan jawatan timbalan presiden dan berdepan dengan Damai yang dikepalai Nurul Izzah Anwar.
Persaingan itu menyaksikan kebanyakan anggota kumpulan Hiruk kalah. Bagaimanapun Aminuddin - yang mempertahankan jawatan tersebut - berjaya mendapat undi yang mencukupi bagi mengisi satu daripada empat posisi Naib Presiden PKR.
Nik Nazmi pula kalah kepada bekas Bendahari Agung MIC yang menjadi Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata Rafizi ada hak untuk menentukan apa yang perlu dilakukannya dalam politik termasuk menubuhkan parti baru.
"Semua orang nak buat parti sekarang," katanya.
Aminuddin juga memberitahu, seseorang ahli politik menubuhkan parti lain bukanan sesuatu yang baru bahkan ia turut melibatkan Umno dan serpihannya.
Antaranya, kata Aminuddin, ialah kemunculan PAS dan Semangat 46.
Justeru, katanya, apa yang berlaku sekarang adalah perkara biasa termasuk untuk PKR yang telah melalui sejarah panjang sejak ia muncul lebih 20 tahun lalu.
Aminuddin juga tidak menolak kemungkinan Bersama sedikit sebanyak memberi kesan kepada PKR apabila segelintir kecil ahli mengikut jejak Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan