"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Israel didakwa rancang bunuh perunding Iran ketika rundingan gencatan senjata berlangsung

Buletin TV3
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf (kiri), dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi. – Foto AFP
WASHINGTON: Israel didakwa merancang untuk membunuh perunding utama Iran ketika rundingan gencatan senjata berlangsung pada musim bunga lalu, menurut seorang pegawai Amerika Syarikat (AS), lapor The New York Times.

Laporan itu menyebut kebimbangan Washington tertumpu kepada Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf, yang dipercayai menjadi sasaran sekitar April ketika rundingan semakin rancak.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dilaporkan sangat bimbang sehingga meminta negara-negara di rantau itu memberi amaran kepada Tehran mengenai kemungkinan serangan terhadap kedua-dua pegawai berkenaan.

AS juga menggesa Israel supaya tidak meneruskan rancangan itu selepas menerima maklumat bahawa Qalibaf berada dalam senarai sasaran.

Iran pula dilaporkan meminta jaminan melalui perantara Pakistan dan Qatar bahawa delegasi mereka tidak akan disasarkan semasa rundingan diplomatik berlangsung.

Dalam satu insiden pada April, penerbangan pulang Qalibaf dari Islamabad dilencongkan ke Mashhad selepas pasukan keselamatan Iran mengesan dua jet Israel memasuki ruang udara negara itu.

Walaupun begitu, kedua-dua Qalibaf dan Araghchi meneruskan lawatan diplomatik ke Qatar dan Switzerland pada Mei bagi rundingan damai.

Kedutaan Israel di Washington enggan mengulas dakwaan berkenaan, manakala motif Israel dikatakan tidak mahu perang dihentikan dan sebaliknya mahu meneruskan tekanan ketenteraan terhadap Iran dan Hizbullah di Lubnan.

Laporan itu turut menyebut perbezaan pendirian antara AS dan Israel, dengan Washington lebih cenderung kepada usaha damai sementara Israel dilihat lebih berhati-hati terhadap gencatan senjata.

Seorang pegawai AS berkata rundingan antara kedua-dua pihak masih diteruskan dan Presiden JD Vance mahu proses damai itu berjalan seperti dirancang.

Qalibaf dilaporkan hampir maut dua kali sejak 2025 dalam insiden konflik berasingan, termasuk ketika beliau diselamatkan dari runtuhan.

Kedua-dua pemimpin Iran itu sebelum ini dilaporkan berada dalam senarai sasaran Israel sejak Mac, namun dikeluarkan selepas desakan AS apabila rundingan bermula. – AGENSI

Tiada ulasan: