FMT Reporters
Sebanyak 226 individu warga asing terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita serta 28 kanak-kanak diperiksa ketika serbuan.

Jais serbu sebuah premis di Jalan Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Petaling Jaya, dipercayai jalan kegiatan bercanggah fatwa dan berunsur syiah pada Khamis lepas. (Gambar Jais)
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah premis di Jalan Pusat Perdagangan Lagoon Perdana yang dipercayai menjalankan kegiatan bertentangan dengan fatwa dan berunsur Syiah pada Khamis lepas.
Pengarah Jais Shahzihan Ahmad berkata, ketika serbuan pada 9.34 malam itu, yang dijalankan susulan maklumat orang awam, sebanyak 226 individu warga asing terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita serta 28 kanak-kanak telah diperiksa.
“Operasi melibatkan kerjasama Jais, polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kekuatan keseluruhan sebanyak 120 anggota,” katanya dalam kenyataan.
Serbuan dijalankan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 melibatkan siasatan di bawah Seksyen 12(c), Seksyen 13 serta Seksyen 16 di bawah undang-undang sama.
Shahzihan berkata, MBSJ turut mengeluarkan Notis Pemberitahuan di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) berhubung beberapa ketidakpatuhan berkaitan pendirian dan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Sehubungan itu, Jais menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan ajaran Syiah agar menyalurkannya kepada talian penting Jais 1800-88-2424.
“Hal ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. Jais turut menasihati umat Islam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan ajaran Syiah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan