"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puad Zarkashi bedal senarai BN Johor

‘Calon kitar semula, anti-anak muda’ – Puad bedal senarai BN Johor

Harapandaily
Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai “kitar semula”, “biasa-biasa” dan gagal mencerminkan aspirasi generasi muda oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Malah, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mendakwa barisan calon yang diketengahkan BN kali ini bersifat “cacamarba”, tidak menarik dan tidak membawa mesej perubahan kepada pengundi.

“Kenapa? Sebab ia parti anak beranak, calon dipilih dalam kalangan kroni dan partner main golf.

“Ada yang baru sebulan kembali masuk Umno sudah boleh jadi calon dengan mudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Menurut Puad, Umno yang kini mencecah usia 80 tahun sepatutnya sudah dipimpin oleh generasi keempat pemimpin, sebagaimana yang ditampilkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sebaliknya, beliau mendakwa kebanyakan calon Umno yang dipilih masih terdiri daripada generasi ketiga dan nama-nama lama.

“Maka Umno Johor gagal memenuhi aspirasi anak muda. Generasi keempat terpinggir. Itu yang Akmal tidak faham,” katanya, merujuk kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Puad turut mempersoalkan pencalonan beberapa pemimpin veteran, termasuk Datuk Abdul Halim Suleiman di DUN Tiram yang berusia 64 tahun dan pernah tewas pada PRN 2018.

Beliau juga mempersoalkan pemilihan Datuk Seri Dr Adham Baba, 64, yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi kini dipertaruhkan di DUN Pasir Raja.

Turut disebut ialah calon DUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali yang berusia 65 tahun dan Alwiyah Talib di DUN Endau yang berusia 65 tahun, bekas Adun Bersatu selama dua penggal yang hanya menyertai Umno kira-kira empat bulan lalu.

Puad turut menyenaraikan beberapa nama lain termasuk Azhar Ibrahim, Zaidi Jaafar dan Youzaimi Yusof yang menurutnya pernah tewas dalam pilihan raya sebelum ini tetapi masih diberikan peluang sekali lagi.

“Lagi pelik calon yang ada PhD seperti Dato’ Fuad Tukirin katanya diganti dengan calon SPM di Bukit Naning.

“Maka bagaimana anak muda mahu tertarik dengan Umno?

“Memang wajar Puteri Umno marah kerana seorang sahaja wakil Puteri jadi calon. Risikonya pengundi muda kali ini masih menolak Umno,” katanya.

Kritikan terbuka itu hadir hanya beberapa hari selepas Puad mengumumkan keluar daripada Umno serta-merta pada 25 Jun lalu.

Beliau mendakwa Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan kini dikawal oleh pihak istana.

Bagaimanapun, tindakan beliau itu menerima kecaman daripada beberapa pemimpin Umno yang mendakwa rasa tidak puas hati sebenar Puad berpunca daripada anaknya tidak dipilih sebagai calon dalam PRN Johor kali ini.

PRN Johor menyaksikan BN mempertaruhkan gabungan calon lama dan muka baharu dalam usaha mempertahankan penguasaan mereka di negeri itu, namun kritikan daripada bekas pemimpin kanan parti sendiri dijangka terus menambah tekanan kepada kempen gabungan berkenaan.

Tiada ulasan: