Malaysiakini
Ahli perniagaan buruan pihak berkuasa pelbagai negara, Jho Low, mungkin menjadi seorang antara 250 individu yang dijadualkan menerima pengampunan daripada Presiden AS, Donald Trump, sempena hari kemerdekaan ke-250 negara itu pada 4 Julai.
Menurut laporan The Atlantic, Pras Michel dari kumpulan muzik Fugees juga sedang dipertimbangkan untuk mendapatkan pengampunan berkenaan.
Michel disabitkan kesalahan berkomplot dengan Low dan seorang pegawai kerajaan China untuk mengatur kempen melobi yang bertujuan menghentikan siasatan jenayah AS terhadap skandal 1MDB selepas dana tersebut telah disalahgunakan.
The Atlantic menyatakan wakil Low – atau nama sebenarnya Low Taek Jho – tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk memberi komen.
“Rumah Putih sedang membincangkan kemungkinan pengumuman pengampunan presiden sebagai inti pati sambutan separuh lima abad negara pada hujung minggu 4 Julai, menurut 14 orang yang biasa dengan perbualan tersebut.
“Idea itu telah digambarkan sebagai '250 pengampunan selama 250 tahun',” lapor media itu.
The Atlantic juga melaporkan penasihat Trump masih berbelah bahagi sama ada mahu mengeluarkan pengampunan besar-besaran untuk memperingati ulang tahun kemerdekaan AS adalah idea yang baik atau tidak.
“Seorang penasihat berkata terdapat tinjauan pendapat yang mencadangkan pengampunan besar-besaran boleh memberi manfaat kepada presiden, tetapi sebarang tindakan tidak mungkin berlaku menjelang Hari Kemerdekaan.
“Penyokong rancangan itu mengatakan bahawa ia akan menggariskan autoriti tunggal presiden dan mengukuhkan imej yang telah lama beliau usahakan: ‘Trump yang penyayang’,” tambahnya.
Terserah kepada AS tentukan
Laporan itu menyatakan kemungkinan pengampunan besar-besaran telah mencetuskan gelombang melobi dan membuat perjanjian antarabangsa, dengan jarak yang sedikit sahaja dengan presiden menjadi boleh dimonetisasi.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya tidak akan memfailkan bantahan terhadap permohonan Low untuk mendapatkan pengampunan daripada Trump.
Katanya walaupun Malaysia tidak menyokong percubaan Low, terserah kepada Washington untuk membuat keputusan dan “bukan isu” kepada Putrajaya.
“Kami tidak menyokong laluan itu. Tetapi sudah tentu, ia adalah urusan AS, urusan mereka sendiri," katanya.
Perdana Menteri menambah dia tidak mengetahui tentang permohonan pengampunan tersebut, namun menekankan Low masih perlu menghadapi sistem keadilan di Malaysia.
Low dituduh mendalangi skandal yang menggelapkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (kira-kira RM17.7 bilion) dana 1MDB, bersama dua bekas pegawai bank dari Goldman Sachs.
Pada 13 Mei, The Wall Street Journal melaporkan permohonan pengampunan Low kepada Trump " selepas hukuman selesai" belum diputuskan.
Pada tahun 2024, Low mencapai penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman AS untuk memulangkan AS$100 juta yang dituntut dalam saman pelucutan hak sivil.
Skandal 1MDB juga membawa kepada sabitan dan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak – yang juga memohon pengampunan di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan