"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Singapura didakwa halang tugas polis, miliki senjata

MOHD SHARKAWI LONDING
KIAN LIANG dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bergaduh dengan warga tempatan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU – Seorang pemilik restoran warga Singapura mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk menghalang tugas anggota polis dan memiliki senjata berbahaya di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Gary Lim Kian Liang, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Nor Aziati Jaafar dan Majistret, Nurzihan Abdul Rehman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris.

Di hadapan Nor Aziati, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 8.5 sentimeter tanpa kebenaran sah di Jalan Lingkaran Dalam menghala Bangunan Sultan Iskandar di sini kira-kira pukul 12.15 pagi, Ahad lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.

Di hadapan Nurzihan pula, dia didakwa dengan sengaja menghalang Lans Koperal Mohd. Rahimi Mohd. Ali melaksanakan tugasnya pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama.

Atas kesalahan itu, dia dakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita tempatan berusia 30 tahun menggunakan pisau di lokasi sama, kira-kira pukul 11.58 malam, 15 Ogos lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Peguam mewakili tertuduh, S. Selvanteran dalam rayuannya berkata, tertuduh menanggung seorang isteri dan seorang ibu yang sudah uzur dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

“Tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan mental iaitu ‘major depression’ dan memerlukan rawatan kesihatan secara berterusan,”katanya.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM20,000 dan kes akan disebut semula pada 25 September depan.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan yang turut terlibat dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial berkenaan, G. Thinesh Kumar, 28, pula mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A. Shaarmini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap warga Singapura itu menggunakan topi keledar di lokasi dan masa yang sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam diberikan jaminan RM5,000, manakala kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 September depan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: