"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu lori ‘Black Maria’ imigresen didakwa sebabkan kematian 3 sekeluarga

Faisal Asyraf

Tertuduh, Akbar Zainol mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Akbar Zainol
Pemandu lori ‘Black Maria’ imigresen, Akbar Zainol, 43, diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap lima pertuduhan membabitkan nahas lori ‘Black Maria’ di Jalan Sultan Ismail di sini yang mengorbankan seorang bapa dan dua anak perempuannya.

Tertuduh, Akbar Zainol, 43, didakwa memandu trak Imigresen secara melulu sehingga menyebabkan kematian Shaik Firdaus Shaik Yahya, 52; Siti Norshazlin Shaik Firdaus, 24; dan Siti Darwisyah Shaik Firdaus, 12.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sultan Ismail kira-kira jam 1 pagi, 19 Ogos lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 dan RM50,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, Akbar didakwa memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Nor Hayati Rozali, 54.

Pertuduhan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan denda antara RM5,000 dan RM10,000 serta hukuman penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.

Pemandu itu turut didakwa mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana melanggar lampu isyarat merah. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda antara RM300 hingga RM2,000.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 serta meminta Akbar menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Peguam Izzat Amir Saharudin memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya telah berkhidmat di Jabatan Imigresen selama 11 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Izzat turut berkata Akbar sudah berkahwin, mempunyai seorang anak yang masih bersekolah dan menanggung ibunya yang sudah lanjut usia serta menetap di Kedah.

Peguam itu berhujah bahawa perintah tambahan yang dimohon pihak pendakwaan tidak diperlukan kerana anak guamnya akan memberikan kerjasama sepanjang prosiding dan manfaat keraguan wajar diberikan kepadanya.

Majistret Aliaa Anwar menetapkan jaminan RM60,000 bagi kesemua lima pertuduhan dan memerintahkan Akbar melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Beliau turut memerintahkan lesen memandu Akbar digantung sehingga kes itu selesai.

Tiada ulasan: